Rencana

Sanggupkah Anwar cabar Pengisytiharan Proklamasi Darurat?

ANALISIS

MEDIA melaporkan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar perisytiharan darurat yang disifatkannya tidak berasas.

Langkah itu menyusuli tindakannya menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen untuk menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merayu membatalkan perisytiharan darurat dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Jan ini.

“Saya sudah mengumumkan hasrat kami untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempertahankan Perlembagaan dan rakyat daripada penyalahgunaan kuasa amat dahsyat ini.

“Juga, pasukan undang-undang kami sudah diarah menyiapkan permohonan untuk mencabar perdana menteri dan kerajaan Malaysia atas perisytiharan darurat yang tidak berasas,” tulisnya di Facebook.

Semua maklum bahawa Pengisytiharan Proklamasi Darurat di seluruh negara telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Al Sultan Abdullah memperkenankan darurat selepas mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

“Ianya juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut,” kata Ahmad Fadil.

Persoalannya, adakah Anwar sanggup untuk mencabar Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Adakah dia akan berbuat demikian, selepas pernah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini?

Anwar mendapat pengampunan penuh pada 15 Mei 2018 selepas dipenjarakan atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun sebelum itu.

Anwar sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun 2018 tetapi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan kemenangan partinya PKR yang bergabung bersama Pakatan Harapan, mengubah segala-galanya.

Presiden PKR itu didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 dan dihukum penjara selama lima tahun.

Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V telah menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, mengikut nasihat Lembaga Pengampunan… telah mengisytiharkan bahawa rayuan untuk pengampunan penuh dan pembebasan serta-merta Anwar Ibrahim telah diperkenan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara ketika itu, Datuk Wan Ahman Dahlan Abdul Aziz.

Semua mata kini tertumpu kepada Anwar untuk melihat langkah selanjutnya daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu terhadap Pengisytiharan Proklamasi Darurat.-SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button