fbpx
Sukan

Mamat lakar kemenangan bergaya di Ipoh

PAKAR pecut Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh berjaya menamatkan kemarau kemenangan pada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas menjuarai peringkat kelima dari pekan Kuala Kubu Bharu ke Bandar Meru Raya, hari ini.

Pelumba berusia 31 tahun itu mempamerkan pecutan bertenaga di garisan penamat untuk menewaskan dua lagi pelumba pecut, iaitu pelumba pasukan NTT Pro Cycling Team, Maximilian Richard Walscheid dari Jerman, dan pelumba Itali, Matteo Pelucchi dari pasukan Androni Giocattoli-Sidermec.

Walscheid dan Pelucci, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga pada perlumbaan sejauh 165.8km berkenaan.

Seorang lagi pelumba negara, Anuar Manan yang mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 117 pelumba yang mengambil bahagian pada peringkat kelima, hari ini.

Kemenangan hari ini menyaksikan Mohd Harrif Saleh mengulangi kejayaan menjuarai perlumbaan peringkat kedua LTdL 2019 dari Dataran Senawang ke Melaka.


Ketua juri menganugerahkan masa yang sama iaitu 3 jam 39 minit dan 42 saat selepas 10 pelumba teratas, menamatkan perlumbaan secara berkelompok.

Anak jati Terengganu itu yang ditemui pemberita selepas perlumbaan berkenaan, bersyukur di atas kejayaan hari ini, sambil berterima kasih kepada rakan sepasukannya yang membantu beliau melakar kemenangan bersejarah tersebut.

Beliau pada masa sama, turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada pengurusan TSG serta seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan padu kepadanya sepanjang menyertai LTdL.

“Saya pun tak percaya yang saya boleh menang, Alhamdulillah. Rakan sepasukan saya banyak menarik saya ke depan dan syukur ke hadrat Allah S.W.T di atas kemenangan ini.

“Hari ini, posisi saya memang terbaik sebab laluan perlumbaan agak besar, jadi saya tahu kelebihan ada pada saya untuk memecut ke garisan penamat,” jelas Mohd Harrif.

Ditanya mengenai peringkat keenam, esok, Mohd Harrif optimis mampu meraih kedudukan podium memandangkan laluan perlumbaan turut melibatkan beberapa laluan berbukBerkongsi sentimennya, ketua jurulatih TSG Jeremy Hunt yang agak terkejut namun gembira dengan kemenangan tidak diduga Mohd Harrif.

Sementara itu, Walscheid yang gembira dengan prestasinya mengakui bahawa Mohd Harrif berhak untuk meraih kemenangan hari ini selepas memecut ke garisan penamat.

“Saya rasa, sekali lagi prestasi baik yang ditunjukkan rakan sepasukan, saya juga gembira dengan pecutan (ke garisan penamat), tetapi pelumba lain lebih pantas daripada saya, jadi saya mengucapkan tahniah kepadanya (Mohd Harrif).

“Perlumbaan esok sangat sukar kerana melibatkan beberapa zon mendaki,” katanya.

Peringkat keenam, esok melibatkan jarak sejauh 150.9km dari Taiping ke Pulau Pinang dengan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Parit Buntar dan Balik Pulau, selain dua zon pendakian di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button