Sukan

Malaysia Ungguli Dua Kejuaraan Dalam Kejohanan PETRONAS Malaysia Junior International Challenge 2025

KANGAR, 6 Julai 2025 – Malaysia menamatkan Kejohanan PETRONAS Malaysia Junior International Challenge 2025 dengan cemerlang apabila merangkul dua kejuaraan utama dalam acara beregu campuran dan beregu wanita, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kuasa badminton remaja yang digeruni di Asia.

Kejohanan berprestij ini berlangsung di Dewan 2020, Kangar dari 1 hingga 6 Julai 2025, menghimpunkan pemain-pemain muda berbakat dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Hong Kong dan Malaysia selaku tuan rumah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah, diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Bendahari BAM, Datuk Teoh Teng Chor.

Platform Pembangunan Bakat Asia

Kejohanan ini mempertandingkan lima kategori utama – Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Beregu Lelaki, Beregu Wanita, dan Beregu Campuran – dengan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak USD 8,000. Ia terus diiktiraf sebagai antara kejohanan junior paling berprestij dalam kalendar badminton Asia dan menjadi platform penting dalam mencungkil bakat masa depan.

Sorotan Keputusan Akhir

Dalam perlawanan akhir beregu lelaki, pasangan muda negara Loh Ziheng dan Tan Zhi Yang mempamerkan aksi penuh semangat menentang pilihan utama dari Indonesia, Alexius Ongkytama Subagio dan Aquino Evano Keneddy Tangka. Perlawanan dramatik itu berakhir dengan kemenangan tipis untuk regu Indonesia – 21-18, 19-21, 22-20 – disaksikan sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin yang turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Malaysia bangkit dalam acara beregu wanita apabila Low Zi Yu dan Dania Sofea Zaidi menampilkan persembahan bertenaga menewaskan pasangan kembar dari Thailand, Khanaphon dan Thanaphon Deearom, dengan keputusan 21-11, 21-19. Hadiah disampaikan oleh Tuanku Raja Puan Muda.

Dalam acara beregu campuran, Malaysia menguasai sepenuhnya podium apabila dua pasangan senegara bertemu di pentas akhir. Loh Ziheng dan Noraqilah Maisarah Ramdan menewaskan Datu Anif Isaac Datu Asrah dan Dania Sofea Zaidi dalam perlawanan tiga set 20‑22, 21‑15, 21‑12, sekali gus membawa pulang kejuaraan kedua negara.

Sementara itu, wakil Hong Kong, Lam Ka To, menjuarai perseorangan lelaki selepas menewaskan pemain Indonesia Radithya Bayu Wardhana dengan dominasi mutlak, 21‑8, 21‑9.

Bagi acara perseorangan wanita, pemain Thailand Tonrug Saeheng muncul juara selepas menewaskan wakil Hong Kong Ip Sum Yau dalam pertarungan tiga set 21‑18, 15‑21, 21‑17.

Mencorak Masa Depan Badminton Negara

Kejohanan ini menutup tirainya dengan semangat kesukanan yang tinggi dan pencapaian membanggakan buat kontinjen Malaysia. Kejayaan ini memberi gambaran jelas tentang potensi generasi baharu pemain negara dan memperkukuh sasaran Malaysia untuk kekal kompetitif di pentas badminton antarabangsa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button