Nasional

Malaysia-UK adakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Ekonomi (JETCO)

Malaysia dan United Kingdom telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Ekonomi (JETCO) yang pertama, dipimpin oleh Menteri kedua-dua negara.

Mesyuarat JETCO Malaysia-UK yang pertama ini menandakan pengukuhan hubungan perdagangan yang sedia kukuh antara Malaysia dan UK, disokong oleh keanggotaan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia, Tengku Zafrul Aziz, dan Menteri Dasar Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi UK, Douglas Alexander MP, telah mengadakan perbincangan positif di London untuk meneroka kaedah meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Kedua-dua Menteri menyokong pelan kerja bersama yang bercita-cita tinggi bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keutamaan seperti perkhidmatan guaman, pendidikan, standard dan penilaian pematuhan, pertanian, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Malaysia dan UK turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang kastam, kewangan Islam, koperasi, dan perusahaan sosial.

Kedua-dua Menteri mengalu-alukan perjanjian perdagangan bebas pertama antara Malaysia dan UK, yang dicapai melalui penyertaan UK dalam CPTPP, berkuat kuasa pada 15 Disember 2024.

Kedua-dua pihak komited untuk terus bekerjasama rapat bagi menyokong perniagaan Malaysia dan UK memanfaatkan perjanjian ini dengan berkesan.

Pertanian, Makanan dan Minuman

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia serta Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK telah bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Pertanian, Makanan dan Minuman yang baharu.

Dialog teknikal ini bertujuan menangani halangan perdagangan, menggalakkan pertukaran dasar, dan
mengenal pasti potensi kerjasama.

Perkhidmatan Guaman

Malaysia dan UK sedang giat menjalinkan kerjasama dalam Kumpulan Kerja Perkhidmatan Guaman untuk memperkukuh hubungan sektor perundangan dan meneroka peluang mempertingkatkan perdagangan perkhidmatan guaman secara dua hala berdasarkan prinsip yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Antara pencapaian penting kumpulan ini ialah lanjutan tempoh sah lesen Firma Guaman Asing Berkelayakan
(QFLF) daripada tiga kepada lima tahun. Langkah ini memberikan kepastian kepada firma guaman UK yang beroperasi di Malaysia.

Kedua-dua negara akan terus bekerjasama dalam kepentingan bersama termasuk penyelesaian pertikaian dan timbang tara perdagangan antarabangsa.

Pendidikan

Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Jabatan Pendidikan UK telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mei 2023 untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi.

Melalui Kumpulan Kerja Pendidikan, Malaysia dan UK akan bekerjasama dalam pendidikan rentas negara serta
meneroka peluang dalam perantisan ijazah, mobiliti pelajar, kemahiran, dan latihan guru termasuk Status Guru Bertauliah Antarabangsa (iQTS).

Standard dan Penilaian Pematuhan

Malaysia dan UK akan memuktamadkan Terma Rujukan bagi Kumpulan Kerja Standard dan Penilaian Pematuhan. Kumpulan ini menyediakan rangka kerja untuk kerjasama dan dialog mengenai standard, peraturan teknikal, dan prosedur penilaian pematuhan.

Forum ini bertujuan memperkukuh kerjasama pengawalseliaan dan mengurangkan halangan teknikal perdagangan, seterusnya memudahkan akses pasaran antara Malaysia dan UK.

PKS

Malaysia dan UK akan terus bekerjasama dalam dasar-dasar untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Kumpulan Kerja PMKS (PMKSWG). Kumpulan ini akan meneroka amalan terbaik untuk menyokong PMKS dalam topik seperti pendigitalan, peralihan hijau dan adil, serta padanan perniagaan
untuk usahawan.

ASEAN

UK menyokong kepimpinan Malaysia dalam ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” dan berharap dapat memperkukuh kerjasama UK-ASEAN melalui pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045 pada tahun ini.

Hubungan Ekonomi Dua Hala

Bagi tempoh Januari hingga November 2024, UK merupakan rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia dan rakan dagang ke-4 terbesar di Eropah. Perdagangan barangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM15.29 bilion (USD3.34 bilion).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button