Nasional

Malaysia tingkat kesiapsiagaan ekoran perubahan polisi pengurusan Covid-19 di China

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di peringkat \antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihak kementerian juga ingin merujuk laporan mingguan situasi Covid-19  oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana sebanyak 148,659 kes positif COVID-19 dengan 442 kes kematian bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 (11 hingga 17 Disember 2022) telah dilaporkan di negara China.

“Secara keseluruhannya, trend pelaporan kes COVID-19 berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Sehingga 24 Disember 2022, sebahagian besar varian SARS-CoV-2 yang dikesan di Malaysia adalah varian  micron (66.17%), diikuti oleh varian Delta (32.69%), Beta (1.06%); dan Alpha (0.08%).

“Daripada kumulatif varian Omicron yang dikesan, 61.6% adalah subvarian BA.5.2 dan 10.8% adalah subvarian XBB.1 dan tiga (3) kes subvarian BF.7. Walaubagaimanapun, tiada peningkatan mendadak di dalam jumlah kes
Covid-19 di dalam negara serta kes yang memerlukan kemasukan ke hospital kesan daripada langkah-langkah kesihatan awam dan imuniti kelompok yang terhasil daripada liputan vaksinasi COVID-19 yang luas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan
kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia. Berikut adalah empat (4) strategi utama yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan
iaitu:

1. Memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal

Dalam memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, ujian lanjut ke atas sampel positif COVID-19 menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) dilaksanakan bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

Survelan ke atas sampel bagi kes influenza-like illness (ILI) di 59 buah klinik sentinel dan severe acute respiratory infection (SARI) di 18 buah hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan. Bagi tujuan ini, sampel ILI dihantar ke Makmal Kesihatan Awam seluruh negara, manakala sampel SARI dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian PCR dan seterusnya dijalankan penjujukan genom (WGS) sekiranya positif COVID-19.

Bagi mempertingkatkan pengesanan sebarang varian baharu juga, semua kes ILI dan SARI yang datang  mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir, atau mempunyai sejarah kontak dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir akan dibuat ujian RTK-Ag COVID-19 dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

Selain itu, survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air  kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China. Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.

Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan demam. Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula. Sekiranya disyaki COVID-19, ujian COVID-19 akan dijalankan.

2. Melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi

(i) Pemberian vaksin COVID-19

Sehingga 28 Disember 2022, seramai 27,531,220 orang (84.3%) dari penduduk Malaysia telah mendapat vaksinasi dos primer yang lengkap. Bagaimanapun, hanya seramai 16,278,036 orang (49.8%) menerima dos penggalak pertama dan 626,896 orang (1.9%) bagi dos  penggalak kedua.

Pelindungan yang diberikan oleh vaksin COVID-19 ini akan berkurangan selepas tempoh masa tertentu dan bergantung kepada jenis varian pada masa tersebut. Oleh itu, KKM sangat menggalakkan khususnya mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian.

Mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak, boleh membuat janji temu melalui MySejahtera atau menghubungi Klinik Kesihatan berhampiran.

Bagi menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi, Kementerian Kesihatan
menawarkan pemberian vaksin secara walk-in (tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu) di Klinik Kesihatan dan hospital KKM bermula 9 Januari 2023 (mengikut waktu operasi klinik) kepada kumpulan berikut:
a) Kes dengan komorbiditi termasuk penyakit kronik; atau b) Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas; atau
c) Individu berisiko mendapat gejala teruk dan komplikasi jangkitan COVID-19.

ii) Pemberian rawatan ubat antiviral Paxlovid kepada pesakit yang layak

Rawatan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) juga disediakan kepada pesakit COVID-19 mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bagi tujuan ini, KKM sentiasa memastikan ketersediaan antiviral di semua fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan yang dikenalpasti.

3. Mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam

KKM sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia. Pengukuhan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan dilaksanakan dengan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan. Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan COVID-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera – selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan.
Keputusan ujian akan segera dikemaskini dalam MySejahtera pengguna. Kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order; HSO) dan juga Pelepasan Perintah Pengawasan dan
Pemerhatian (Release Order; RO) seca ra digital dan tidak perlu hadir secara fizikal di Pejabat Kesihatan Daerah mahupun Pusat Penilaian COVID-19 (COVID-19 Assessment Center, CAC).

Selain itu, KKM akan memastikan semua CAC beroperasi secara fizikal mahupun secara maya. CAC di klinik yang dikenalpasti bersedia untuk menerima kedatangan / panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19.

4. Memperkasakan komuniti melalui penglibatan dan advokasi berterusan

Aktiviti advokasi dan komunikasi risiko berkaitan penyakit COVID-19 termasuk vaksinasi dan rawatan dipertingkatkan kepada semua peringkat lapisan masyarakat. Bahan advokasi dan pendidikan kesihatan boleh diperolehi daripada laman sesawang KKM serta kenyataan akhbar KKM yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

KKM telah menggerakkan MyCHAMPION atau Malaysian Health Community Agent melalui inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi memperkasakan kawalan kendiri kesihatan dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu yang boleh membantu mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Selain itu, pengisytiharan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” yang akan tamat pada 31 Disember 2022 telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023 bagi memudahcara Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan COVID-19 menggunakan peruntukkan di bawah P.U. (A)
83/22.

Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Disember 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022].

Di samping strategi yang telah digariskan oleh KKM, masyarakat dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup  sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain. Disarankan agar sentiasa mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek). Bagi mereka yang berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan atau tempat yang sesak, seperti perhimpunan ramai. Mereka yang bergejala juga digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian COVID-19 kendiri.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di dalam dan luar negara serta  bekerjasama rapat dengan WHO, China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan
kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – SM

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button