Nasional

Malaysia tidak akan jadi tempat pembuangan sisa plastik dunia

MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin hari ini mengulangi pendirian kerajaan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat pembuangan sisa plastik dunia.

“Itu adalah pendirian kami, kami tidak mahu sisa plastik dan sisa plastik yang tercemar dibawa masuk  secara haram ke negara ini,” katanya sebagai respon kepada dakwaan kumpulan perlindungan alam sekitar yang terkemuka di dunia, Greenpeace bahawa Itali telah mengeksport sisa plastik berbahaya ke Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Inisiatif MESTECC 2020 iaitu 130 inisiatif kementerian di bawah lima sektor bagi meningkatkan pencapaian kementerian.

Yeo Bee Yin

Berdasarkan siasatan Greenpeace, bagi sembilan bulan pertama tahun 2019, kira-kira 2,880 tan sisa plastik dieksport ke Malaysia dan hampir separuh telah diterima oleh syarikat yang beroperasi secara haram.

Yeo berkata walaupun beliau tidak pasti jumlah sisa plastik haram dari Itali ke Malaysia, beliau berkata Itali bukan pengeksport terbesar sisa plastik itu ke negara ini.

“Pengeksport terbesar bukan Itali tetapi United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya.

Sementara itu, Yeo berkata kementeriannya akan meneruskan usahanya mengenal pasti sisa plastik yang diimport secara haram dan setakat ini mendapat kerjasama positif daripada negara asal.

“Di bawah Konvensyen Basel kita boleh memaklumkan pihak berkuasa di sana (negara asal) bahawa kita akan mengembalikan sisa plastik kepada mereka.

“Kebiasaannnya kebanyakan negara ini akan menerimanya… dan setakat ini mereka tidak pernah mengatakan bahawa mereka tidak mahu menerimanya,” katanya.

Yeo, sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia akan menghantar semula sejumlah 110 kontena yang mengandungi sisa plastik yang dibawa masuk ke negara ini secara haram, ke negara asal menjelang pertengahan tahun ini.

Beliau berkata  60 daripada 110 kontena berkenaan dari Amerika Syarikat, Kanada (15), Jepun (14), United Kingdom (sembilan), Belgium (lapan) dan masing-masing satu dari Mexico, Hungary, Perancis dan Jamaica.

Sementara itu, Yeo berkata plan inisiatif kementerian yang dilancarkan hari ini bertemakan ‘Kuasai, Laksana, Ungguli’ itu melibatkan sektor Tenaga; Sains dan Teknologi (STI); Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Perancangan Strategik dan Antarabangsa; serta Pengurusan.

“Daripada 130 inisiatif itu, sektor tenaga menggariskan 32 inisiatif, STI merangkumi 31 inisiatif, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebanyak 40 inisiatif, perancangan strategik dan antarabangsa 14 inisiatif dan pengurusan dengan 13 inisiatif,” jelas beliau.

Selain itu, sistem Intelligent-Analysis, Evaluation and Reveal Time Solutions atau ‘I-Alerts’ turut dilancar pada majlis yang sama.

Menurut Yeo, sistem itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan pemantauan dan pelaksanaan pegawai yang terlibat bagi mengurus, memantau dan mengukur prestasi pencapaian Inisiatif MESTECC 2020 yang boleh diakses melalui telefon bimbit. – BERNAMA

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button