Nasional

Malaysia terima RM340.92 juta daripada KPMG sebagai penyelesaian 1MDB

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan telah menerima penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (USD80 juta) daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia (Malaysia’s Assets Recovery Trust Account).

Penyelesaian itu adalah susulan daripada pengumuman pada 16 September lalu di mana KPMG bersetuju untuk menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.

Setakat ini, Akaun Amanah di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia, telah menerima sejumlah RM19.138 bilion berhubung skandal kewangan 1MDB dan dana ini akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB dan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB.

“Sehingga kini, Kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB. Pada 31 Disember lalu, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon atau keuntungan untuk bon dan Sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.


“Walau bagaimanapun, baki semasa Akaun Amanah adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk tahun ini (2022) sahaja.

“Apabila semua dana Akaun Amanah telah digunakan, Kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB, yang penerbitannya disokong oleh Jaminan dan Surat Sokongan Kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB, dan akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti ini.

MOF turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian itu. -SM

(Visited 88 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button