Berita

Malaysia Terima Panda Baharu Ogos Ini, Ganti Fu Wa & Feng Yi

MALAYSIA bakal menerima sepasang panda gergasi baharu dari China sebagai simbol kesinambungan kerjasama konservasi antara kedua-dua negara, bermula Ogos ini.

Perjanjian pemindahan panda tersebut dimeterai pada 16 April 2025 sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia. Melalui perjanjian ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada pasangan panda baharu untuk tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2025 hingga 2035.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja mencerminkan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan China, malah menyumbang secara signifikan kepada usaha pemuliharaan spesies terancam serta pembangunan penyelidikan konservasi di negara ini.

“Malaysia amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan China dalam usaha konservasi ini. Kehadiran pasangan panda baharu bukan sahaja akan menjadi tarikan di Zoo Negara, malah mampu memperkukuh aspek pendidikan dan penyelidikan berkaitan hidupan liar,” katanya.

Sebelum ini, pasangan panda pertama iaitu Fu Wa dan Feng Yi telah tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai sebahagian daripada program pinjaman jangka panjang yang ditandatangani antara kedua-dua negara. Sepanjang 11 tahun berada di Zoo Negara, pasangan ini telah menyumbang kepada kelahiran tiga anak panda – Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi – yang semuanya telah dihantar pulang ke China mengikut syarat perjanjian terdahulu.

Fu Wa dan Feng Yi telah selamat dihantar pulang ke China pada 18 Mei 2025.

Perjanjian baharu ini dilihat seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, kerjasama antarabangsa dan pemuliharaan alam sekitar sebagai antara tonggak penting dalam pembangunan negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button