Nasional

Dr Mahathir ajak rakyat bersama-sama kerajaan majukan negara

DALAM negara melangkah ke tahun baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak seluruh rakyat mengambil langkah untuk memajukan diri, selari dengan usaha kerajaan memajukan negara.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2020, Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia tidak dapat mencapai sasaran negara maju sepenuhnya, namun ada beberapa elemen negara maju yang boleh dilakukan.

Beliau menggariskan nilai-nilai itu seperti sifat rajin, berdisiplin, menjaga kebersihan, bersifat tolak-ansur, hormat-menghormati, berbudi bahasa dan berjiwa besar.

“Ini adalah ciri-ciri yang membeza kita daripada mereka yang tidak maju dan mundur.

“Sifat-sifat mulia ini mewakili kesemua budaya, agama dan bangsa serta kepelbagaian Malaysia, seharusnya membuat kita lebih peka kepada nilai-nilai ini,” katanya.

Dr Mahathir seterusnya berkata tahun 2020 agak signifikan di hatinya.

“Semasa saya menerajui pentadbiran Malaysia pada kali pertama, kerajaan menerusi Wawasan 2020 ketika itu telah menyasarkan tahun ini sebagai tahun bagi negara kita mencapai taraf negara maju.

“Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sedar bahawa sasaran itu tidak dapat kita capai sepenuhnya dan kerana itu kita telah menyediakan blueprint baharu yang kita kenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Dalam kata lain, menurut Dr Mahathir, sasaran mencapai status negara maju itu dilanjutkan ke 2030 dan kerajaan percaya objektif itu dapat dicapai.

Perdana menteri menegaskan kerajaan sentiasa berusaha untuk memaju dan memakmurkan negara, kerana ia adalah amanah yang diserah kepada pentadbiran sekarang apabila menerima tanggungjawab menjadi kerajaan.

Dr Mahathir berkata kerajaan tidak boleh bersikap berserah kepada keadaan semasa tanpa memikir strategi dan perencanaan yang difikir sesuai untuk memaju dan memakmur negara.

“Secara ringkas, kita perlu berusaha dan tidak bergantung kepada takdir untuk memajukan diri kita,” katanya.

Perdana menteri menegaskan bahawa terjerat dalam polemik politik tidak akan memajukan rakyat dan negara.

“Ketika masih ada di kalangan rakyat kita yang terperangkap dengan polemik politik yang tidak akan memajukan diri, keadaan di luar tidak menjanjikan kita satu perjalanan yang mudah,” katanya.

Beliau menarik perhatian kepada perang perdagangan antara kuasa besar, dan kemajuan teknologi yang begitu mendadak, yang menurutnya adalah faktor yang akan melakar hala tuju dunia dan negara.

“Kita perlu menerima keadaan ini dan berusaha memaju diri untuk menangani perubahan dan cabaran ini,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri berkata kemajuan teknologi digital telah mengubah cara perniagaan dan perkhidmatan dijalankan.

“Mereka yang memahami perubahan ini telah mencari peluang untuk kerja dan pendapatan. Yang tidak berubah telah kehilangan punca kehidupan,” katanya.

Kerajaan katanya, akan terus membantu rakyat untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu itu menerusi program yang telah disediakan dan akan diperkenalkan.

Harapan kerajaan ialah rakyat akan mengambil peluang itu dan bersama-sama dengan kerajaan untuk memajukan diri mereka, kata Dr Mahathir, sambil menambah apabila mereka berjaya, kerajaan dan negara turut menumpang kejayaan itu. – BERNAMA

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button