Ekonomi

Malaysia Tekad Perkukuh Multilateralisme dan Tadbir Urus AI Etika di Sidang Kemuncak BRICS 2025

RIO DE JANEIRO, 6 Julai 2025 – Malaysia mengulangi komitmennya untuk memperkukuh multilateralisme, menyokong reformasi sistem kewangan dan perdagangan global, serta memperjuangkan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS 2025 yang berlangsung di Brazil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi intervensinya pada hari pertama sidang kemuncak tersebut menegaskan bahawa masa depan dunia tidak seharusnya dibelenggu oleh pertembungan blok kuasa atau perpecahan geopolitik, sebaliknya dibentuk atas semangat kerjasama dan perkongsian kemakmuran.

“Multilateralisme kini bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan mutlak bagi menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi serta kedaulatan negara-negara membangun yang selama ini terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi,” tegas Anwar.

Beliau turut memberi amaran terhadap risiko yang timbul daripada fenomena geopolitics of tech, iaitu dominasi teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang boleh menjejaskan inovasi dan kestabilan sosial.

Mengulas isu kemanusiaan, Anwar turut menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak membisu terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan penindasan terhadap rakyat Iran, sambil menyeru BRICS tampil sebagai suara keadilan sejagat.

“Malaysia menolak sebarang bentuk penindasan dan menyokong usaha menjunjung maruah insan sejagat. Dalam hal ini, BRICS perlu bersatu menentang ketidakadilan dan pelanggaran hak asasi manusia,” katanya lagi.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memperjuangkan agenda selari dengan aspirasi BRICS termasuk pembentukan sistem perdagangan global yang adil, terbuka dan berasaskan pembangunan.

Dalam hal teknologi pula, Anwar menyambut baik penekanan BRICS terhadap tadbir urus AI berasaskan nilai etika, sambil memaklumkan bahawa Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara dan Garis Panduan Tadbir Urus AI, serta kini memimpin inisiatif Jaringan ASEAN AI bagi memperkukuh piawaian dan ketelusan teknologi serantau.

“Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan BRICS dan rakan antarabangsa dalam membentuk sistem ekonomi global yang lebih saksama serta masa depan digital yang selamat dan inklusif untuk semua,” ujar Perdana Menteri.

Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS 2025 yang berlangsung di Rio de Janeiro menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan dari negara anggota BRICS dan negara jemputan, termasuk Malaysia, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik Selatan-Selatan yang semakin penting dalam landskap geopolitik semasa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button