Nasional

Malaysia Tegas Perjuang Keterjaminan Makanan di Sidang FAO Ke-44 di Rome

ROME, 1 Julai 2025 – Malaysia menegaskan komitmennya terhadap keterjaminan makanan global menerusi penyampaian Kenyataan Negara oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, semasa Sidang ke-44 Food and Agriculture Organisation (FAO) yang berlangsung di Rome, Itali.

Dalam ucapannya bertemakan “Memacu Inovasi Demi Keterjaminan Makanan”, beliau menekankan bahawa isu makanan sejagat bukan hanya soal dasar pertanian, tetapi menyentuh hak asasi dan keadilan sosial.

Empat keutamaan utama Malaysia yang diketengahkan ialah:

  1. Pemodenan sektor agromakanan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), dengan penekanan kepada teknologi moden dan kelestarian sumber asli.
  2. Pengukuhan daya tahan iklim, termasuk melalui penghasilan varieti tanaman tahan kemarau dan sistem pengairan berkecekapan tinggi.
  3. Pemberdayaan petani kecil dan pengguna, khususnya golongan rentan, menerusi pemakanan sihat, pendidikan makanan dan bantuan bersasar.
  4. Pengarusperdanaan teknologi canggih seperti dron, data satelit dan pembiayaan digital dalam meningkatkan keberkesanan sektor pertanian.

Mohamad Sabu turut menyuarakan keprihatinan mendalam Malaysia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan Sudan, dengan mengecam sekeras-kerasnya tindakan menjadikan kebuluran sebagai senjata perang.

“Makanan adalah hak asasi manusia. Ia bukan alat untuk menindas,” tegas beliau di hadapan delegasi negara anggota FAO.

Beliau turut menyeru semua negara agar:

  • Berkongsi kepakaran dan amalan terbaik,
  • Merangka pelan tindakan bersama yang realistik dan inklusif,
  • Menubuhkan inisiatif serantau untuk memperkukuh keterjaminan makanan.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mencorak masa depan makanan dunia yang lebih adil, makmur dan lestari. Kita tidak mahu dunia yang kenyang untuk segelintir, tapi lapar untuk majoriti,” tambah beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button