Nasional

Malaysia Seru Penyelesaian Damai Berasaskan Keadilan dalam Konflik Iran–Israel

Putrajaya, 24 Jun 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr. Masoud Pezeshkian, berhubung perkembangan terkini konflik yang melibatkan Iran dan rejim Zionis Israel.

Presiden Masoud menyatakan bahawa Iran bersedia menghentikan segala bentuk tindakan ketenteraan dan menyambut usaha perdamaian, dengan syarat bahawa Israel menghentikan serangan terhadap wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.

Beliau turut memohon Malaysia menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran dalam mempertahankan kedaulatannya.

Malaysia secara konsisten dan tegas mengutuk serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dan Iran, yang telah mengorbankan bukan sahaja rakyat awam, tetapi juga pemimpin tertinggi tentera serta saintis Iran. Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.

Sejak awal krisis, Malaysia menegaskan bahawa keganasan bukan jalan penyelesaian. Namun begitu, dalam kerangka keadilan antarabangsa, Malaysia mengiktiraf hak mana-mana negara yang berdaulat, termasuk Iran, untuk mempertahankan diri daripada sebarang bentuk pencerobohan. Dunia tidak boleh bersikap hipokrit – mengiktiraf kekuatan pertahanan Israel, tetapi menolak hak sah Iran untuk bertindak balas terhadap pencabulan wilayahnya.

Malaysia turut menyambut baik komitmen Iran untuk terus membuka ruang kepada rundingan damai bersama semua pihak – termasuk Amerika Syarikat dan Israel – asalkan prinsip keadilan dan kedaulatan dipelihara.

Malaysia kekal percaya bahawa hanya menerusi dialog, diplomasi dan penyelesaian berasaskan keadilan, keamanan sejagat dapat dicapai, seterusnya mengelakkan pertembungan yang lebih besar di rantau Asia Barat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button