
Malaysia Sedia Hadapi Tekanan Tarif AS, Pakar Lihat Peluang Serantau
PELAKSANAAN enam strategi oleh Kerajaan MADANI bagi memastikan kestabilan ekonomi negara ketika berdepan tekanan tarif balas dari Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai langkah bijak dan berpandangan jauh.
Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, tindakan tersebut menunjukkan kerajaan tidak bertindak terburu-buru, malah memulakan langkah awal yang terancang untuk meminimumkan kesan kepada ekonomi.

“Jika strategi-strategi ini dapat digerakkan dengan pantas dan cekap, saya percaya kesan terhadap ekonomi akan dapat dikurangkan secara signifikan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 5 Mei lalu telah menggariskan enam inisiatif utama sebagai tindak balas terhadap tindakan AS, termasuk memantau indikator ekonomi, memperhebat rundingan, membantu syarikat pengeksport — terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan pembaharuan ekonomi.
Fokus turut diberikan kepada penerokaan pasaran baharu dan memperkukuh kerjasama serantau.
Menurut Khairuddin, walaupun sektor utama dagangan antara Malaysia dan AS melibatkan komponen serta peralatan elektrik dan elektronik, industri ini dijangka tidak terjejas teruk kerana permintaan global yang masih kukuh.
“Asalkan permintaan dari negara lain terus stabil, impaknya kepada industri ini tidak begitu ketara,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk PKS meneroka pasaran baharu, terutamanya dalam kalangan negara ASEAN, lebih-lebih lagi Malaysia bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pasaran tradisional semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Dr Yii Kwang Jing turut senada bahawa situasi ini tidak seharusnya dilihat sebagai malapetaka kepada pengeksport negara.
Katanya, kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memberi peluang luas dalam memanfaatkan pasaran serantau yang merangkumi lebih 660 juta penduduk.

Yii menjelaskan bahawa mekanisme seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan rangkaian RCEP berupaya menjadi penyelamat kepada industri tempatan kerana ia membuka laluan perdagangan rentas sempadan dengan duti yang minimum dan pengurangan birokrasi.
Malah, menurut beliau, transformasi digital menerusi portal perdagangan yang disokong kerajaan juga mempercepatkan capaian pasaran luar kepada PKS, dari segi masa dan kos.
“Sebagai contoh, produk semikonduktor Malaysia kini layak untuk menikmati pengecualian tarif apabila dieksport ke China, Jepun dan Korea Selatan,” jelasnya lagi.
Yii turut menyentuh tentang Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang bakal memberi kelebihan besar kepada syarikat fintech dan penggiat e-dagang melalui penyelarasan peraturan data serta keselamatan siber.
“Anggaran menunjukkan ekonomi digital boleh menambah sehingga AS$1 trilion kepada KDNK ASEAN menjelang 2030. Ini ruang besar untuk firma digital Malaysia berkembang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN juga membawa kekuatan politik dan kelebihan dalam rundingan perdagangan global, kerana negara tidak bersendirian dalam membuat tuntutan.
“Dengan gabungan suara serantau, Malaysia mampu menyuarakan piawaian yang memberi manfaat kepada industri tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa diversifikasi pasaran kini bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik. Justeru, pendekatan seperti peluasan RCEP, penerimaan tarif sifar ASEAN dan perjanjian digital serantau akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.
Ketika ditanya sama ada AS akan memberi perhatian kepada permintaan Malaysia, Yii menegaskan bahawa sejarah membuktikan Malaysia pernah berjaya meraih konsesi apabila berdepan tekanan perdagangan.
Mengimbas kembali isu minyak sawit pada tahun 2020 hingga 2023, Yii berkata, Malaysia mampu menangkis cubaan AS untuk mengenakan duti anti-lambakan dengan menyampaikan data pensijilan MSPO dan menyuarakan bantahan secara sah di platform WTO.
“Tekanan dan tindakan susulan dari Malaysia akhirnya menyebabkan AS menggugurkan cadangan tarif tersebut,” katanya.
Yii turut memetik kejayaan Malaysia mempertahankan industri semikonduktornya ketika AS cuba melaksanakan sekatan eksport yang mensasarkan China, namun berpotensi menjejaskan Malaysia.
Katanya, Malaysia berjaya mengemukakan fakta bahawa negara mengendalikan 13% daripada keseluruhan pembungkusan dan ujian cip dunia, serta menjadi tapak pelaburan penting syarikat seperti Intel.
“Ini bukti bagaimana kuasa ekonomi sederhana seperti Malaysia mampu memberi pengaruh apabila memanfaatkan kedudukan strategik,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan Malaysia dalam menggabungkan kekuatan data, sokongan industri dan kesediaan menghadapi litigasi di peringkat antarabangsa wajar diteruskan untuk menjamin kepentingan negara dalam lanskap perdagangan global yang kian mencabar.