
Malaysia sedia bantu bangunkan industri halal Guinea-Bissau
MALAYSIA sedia membantu Guinea-Bissau membangunkan industri halal, termasuk dalam sektor makanan, kosmetik dan fesyen, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, ia boleh dilakujkan melalui perkongsian kepakaran dalam pensijilan, pembangunan industri dan peningkatan kapasiti.
Selain itu kata Perdana Menteri, Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan pelajar Guinea-Bissau di institusi teknikal dan vokasional di Malaysia.
Di samping itu, katanya, negara ini turut menyokong usaha memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negara itu melalui kerjasama teknikal dan latihan tenaga kerja.
“Usai istiadat sambutan rasmi, saya dan Presiden Umaro Sissoco Embalo mengadakan pertemuan empat mata selama lebih 30 minit.
Kami bicarakan potensi kerjasama dua hala serta hala tuju hubungan Malaysia–Guinea-Bissau yang kini memasuki usia setengah abad. Kami kemudiannya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang mengenal pasti beberapa bidang strategik termasuk minyak dan gas, tenaga boleh baharu, industri halal, penjagaan kesihatan, serta latihan dan pendidikan teknikal.
“Saya zahirkan kesediaan Malaysia untuk membantu Guinea-Bissau membangunkan industri halal, termasuk dalam sektor makanan, kosmetik dan fesyen, melalui perkongsian kepakaran dalam pensijilan, pembangunan industri dan peningkatan kapasiti.
“Kita turut mengalu-alukan penyertaan pelajar Guinea-Bissau di institusi teknikal dan vokasional di Malaysia, di samping menyokong usaha memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negara itu melalui kerjasama teknikal dan latihan tenaga kerja.
“Malaysia juga terbuka meneroka penyelesaian inovatif dalam kewangan Islam dan perdagangan karbon sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan mampan yang inklusif dan berdaya tahan.
“Saya dan Presiden Embalo turut menyentuh isu Gaza, dan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.
“Malaysia dan Guinea-Bissau senada bahawa komuniti antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku dan mesti terus bersuara membela keadilan dan kemanusiaan sejagat.
“Malaysia melihat Guinea-Bissau bukan sahaja sebagai rakan dua hala yang penting, tetapi juga sebagai pintu masuk strategik ke rantau Afrika Barat.
“Justeru, pertemuan hari ini berpotensi memacu kerjasama yang lebih luas dan bermakna demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri. – SM