Nasional

Malaysia sasar setengah juta pelancong dari UK sempena TMM2026 – Ahmad Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri berkata, Malaysia menyasarkan ketibaan 500,000 pelancong dari United Kingdom (UK) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, jumlah itu dapat dicapai berdasarkan kedatangan pelancong dari negara berkenaan pada empat bulan pertama tahun iniya ng menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan beliau yakin jumlah berkenaan terus meningkat.

“Saya berpuas hati dengan usaha dijalankan Tourism Malaysia di London ini khususnya, …hasrat untuk memperoleh 500,000 pelancong dari United Kingdom ini saya yakin akan dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan TMM2026, di sini, pada Selasa seperti yang dipetik daripada BERNAMA.
Sebelum itu ketika menghadiri Sesi Meja Bulat Pelancongan bersama pemain industri pelancongan di UK, beliau berkata, terdapat cadangan pengenalan pakej khas kepada pelancong yang menaiki penerbangan Malaysia dengan menawarkan insentif stopover untuk mereka singgah dan menikmati pengalaman di Kuala Lumpur atau mana-mana destinasi di Semenanjung.

“Saya telah bersetuju untuk membawa perkara ini kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan membawa kepada Kabinet untuk kita mohon supaya pakej ini dapat dilaksanakan menjelang 2026.
“… kerana Malaysia Airlines pernah memberikan pakej sama satu ketika dahulu, ia cukup berjaya dan mungkin saranan diberikan oleh pengurus Malaysia Airlines di London ini boleh kita realisasikan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, pada 2024, Malaysia mencatatkan 390,035 kedatangan pelancong dari UK yang menyumbang kepada lebih RM2.5 bilion daripada hasil perbelanjaan pelancong.
Beliau berkata, Malaysia juga telah meluluskan 103 laluan antarabangsa baharu, 29 kekerapan tambahan dan lima penerbangan carter.
“Semuanya sebagai persiapan TMM2026. Saya percaya laluan ini bukan sekadar infrastruktur tetapi juga pintu kepada pelbagai peluang sama ada untuk pelancong, pengendali mahupun pelabur,” katanya.

.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button