Nasional

Tol percuma sempena Deepavali

TOL percuma selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad ini bagi pengguna lebuh raya sempena perayaan Deepavali, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, kedua-duanya di Johor.

“Kementerian Kerja Raya melalui mesyuarat bersama syarikat konsesi telah bersetuju dengan pelaksanaan tol percuma ini yang bermula pada 11 Nov (Sabtu) jam 12.01 pagi sehingga 12 November (Ahad) jam 11.59 malam.

“Inisiatif ini bagi meraikan seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan perpaduan untuk membantu meringankan beban rakyat tanpa mengira kepelbagaian agama, bangsa dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pemilihan tarikh itu juga bertujuan membantu pelancong mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk perjalanan mereka ke kampung halaman dan pulang ke bandar.

“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharap pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan mereka dengan baik. Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi jadual waktu perjalanan yang disyorkan atau nasihat masa perjalanan (TTA).

“Aspek keselamatan dan pemanduan yang selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya boleh tiba di destinasi mereka dengan selamat,” katanya,

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemas kini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Dijangkakan kira-kira 11.8 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya dalam tempoh ini. -SM

Baca : Pendidikan pemakanan ‘benteng awal’ anak atasi masalah bantut

 

(Visited 25 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button