
Malaysia Perkukuh Undang-Undang Siber dan Korporat Serentak
BANGI, 16 Jun – Kerajaan bakal menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dalam masa terdekat selepas ia diluluskan Parlimen dan menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut beliau, akta tersebut telah diwartakan dan kini hanya menunggu penandatanganan rasmi oleh Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, bagi menentukan tarikh kuat kuasa.
“Sebaik perintah penguatkuasaan ditandatangani, undang-undang ini akan membolehkan kerajaan bertindak serta-merta dalam menurunkan kandungan dalam talian yang menyalahi undang-undang. Penyedia platform juga diwajibkan mematuhi tanggungjawab penjagaan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) serta pelancaran Akademi Perundangan Negara (APN) di sini hari ini.
Azalina turut memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian akan ditubuhkan bagi mentakrif dan menyelaras bentuk bahaya digital yang wajar dikawal, termasuk penipuan, buli siber, kandungan ekstrem serta ancaman keselamatan negara.
Meskipun akta itu berfokus kepada penyedia platform digital, Azalina menjelaskan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak dalam talian akan tetap merujuk kepada peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Gesaan Undang-Undang Liabiliti Korporat
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina menekankan keperluan mendesak untuk merangka satu undang-undang khusus berkaitan liabiliti korporat, susulan tragedi nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
“Bagaimana sesebuah syarikat boleh menjalankan perniagaan tanpa dipertanggungjawabkan? Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pampasan insurans semata-mata,” ujarnya sambil merujuk contoh kes Air India.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbang penggubalan undang-undang pembunuhan korporat atau corporate manslaughter seperti yang diamalkan di beberapa negara maju, bagi memastikan akauntabiliti terhadap kecuaian serius yang menyebabkan kehilangan nyawa.