Nasional

Harga bilik hotel di Melaka naik mendadak

KENAIKAN harga bahan mentah dan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula Mei lalu sekali gus mendorong kebanyakkan hotel berstatus tiga hingga lima bintang serta hotel bajet di negeri ini naik mendadak sepanjang cuti persekolahan.

Kenaikan harga semua jenis bilik mengalami kenaikan antara 15 hingga 20 peratus yang tidak dapat dielak oleh semua pemilik hotel terbabit yang terkesan berikutan kenaikan kos operasi setakat ini.

Bagi pemilik Hotel LaCrista, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, pihaknya tidak banyak pilihan terpaksa
menaikkan harga bilik berikutan kenaikan harga bahan mentah dan permintaan tinggi daripada pelancong luar negara khususnya dari Singapura.

Rosthman Ibrahim.

Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah sejak awal tahun ini telah memberi kesan yang besar terhadap hotelnya yang menyediakan sarapan pagi, buffet dan makanan ala carte.

Begitupun katanya, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 tidak memberi kesan kerana kesemua kakitangannya mempunyai gaji pokok melebihi daripada RM1,500.

“Faktor permintaan tinggi daripada pelanggan khususnya dari Singapura turut mempengaruhi harga bilik standard daripada harga RM282 mencecah sehingga RM900 berdasarkan tempahan secara atas talian.

“Walaupun harga hotel naik mendadak ia tidak menjejaskan kerana sepanjang cuti sekolah ini semua bilik telah habis ditempah,” ujarnya di sini hari ini.

Bagi Pengurus Besar Hotel MITC di Ayer Keroh, Sazali Sabri berkata, kenaikan harga bilik tidak dapat
dielak berikutan kenaikan harga bahan mentah dan kenaikan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei lalu.

Sazali Sabri.

Menurutnya, pihaknya tidak banyak pilihan berikutan peningkatan kos pengurusan hotel memaksa pihaknya menaikkan harga bilik sepanjang cuti sekolah dan cuti umum antara 15 hingga 20 peratus.

“Bagi harga bilik standard harga asal ialah RM160 naik kepada RM185, bagi bilik deluxe pula dari RM240 hingga RM280 manakala bilik suite pula dari RM462 mencecah RM485,” ujarnya.

Sementara itu bagi pemilik Hotel Queenspark Lovite, Norsalenawaty Mohd. Salleh berkata, kenaikan harga hotel miliknya tidak dapat dielak terutama kenaikan gaji minimun RM1,500 diumumkan oleh kerajaan bermula 1 Mei lalu.

Norsalenawaty Mohd. Salleh.

“Itu adalah antara faktor utama mempengaruhi harga bilik sepanjang cuti sekolah dan begitu juga kenaikan harga barang mentah turut memberi kesan kepada operasi pengurusan hotel,” ujarnya.

Beliau menambah kenaikan harga bilik yang ditawarkan tidak membebankan pelanggan iaitu daripada RM128 naik mencecah RM168.

Jelasnya lagi, kenaikan harga bilik akan berterusan selepas berakhirnya musim cuti sekolah namun kenaikan adalah sedikit dan tidak membebankan pelanggan yang menginap di hotel miliknya. – SM Melaka

(Visited 715 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button