Ekonomi

Malaysia perkukuh hubungan perdagangan dengan India berkaitan minyak sawit

MALAYSIA terus berusaha untuk mewujudkan hubungan perdagangan lebih baik dengan India di samping menangani beberapa isu yang menidakkan bahagian minyak sawit negara dalam pasaran global, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr Kalyana Sundram.

Beliau berkata 2020 setakat ini merupakan tempoh yang sukar, dengan kedudukan India susut ke tangga terendah (ke-13) dalam kalangan destinasi eksport minyak sawit utama Malaysia bagi lima bulan pertama.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2020, penghantaran minyak sawit Malaysia ke India merosot 93 peratus kepada 151,106 tan daripada 2.16 juta tan pada tempoh yang sama 2019.

“Kami menjangkakan apabila perintah berkurung ditarik balik, industri hotel, restoran dan kafe di India kembali rancak secara berperingkat sekali gus akan mendorong permintaan lebih tinggi terhadap minyak sawit,” katanya pada hari pertama Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers) selama tujuh hari anjuran MPOC dan Bursa Malaysia, hari ini.

Pada Jumaat, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi kenyataan berkata negeri Telangana di India berhasrat memohon bantuan kepakaran Malaysia dalam bentuk pemindahan teknologi berkaitan industri sawit.

Beliau berkata Malaysia akan menggunakan peluang itu untuk meningkatkan penguasaan pasaran di India menerusi promosi bersama serta kerjasama dengan kerajaan negeri Telangana.

Menurut kenyataan itu, India, yang merupakan pengguna minyak sawit terbesar dunia memerlukan 25 juta tan minyak sayuran dan lelemak setahun untuk kegunaan domestik, berhasrat mengimport minyak sawit serta produk komoditi lain dari negara ini.

Semasa pembentangan setengah jam itu hari ini, Kalyana berkata harga kompetitif yang dtawarkan Indonesia bagi minyak sawit yang dijual kepada India menjadi antara faktor utama kemerosotan eksport Malaysia ke India.

Beliau berkata bagaimanapun, langkah pengecualian duti minyak sawit mentah (MSM) oleh kerajaan Malaysia pada Jun telah meningkatkan daya tarikan MSM negara ini.

“Hasilnya, kita menyaksikan pergerakan dagangan ke India dari Malaysia dan ini merupakan petanda baik untuk minyak sawit Malaysia,” katanya.

Eksport minyak sawit Malaysia diunjurkan meningkat 2.5 peratus kepada 4.56 juta tan pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya, dipacu permintaan lebih baik dari pasaran tradisional — India, China dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Mengenai cabaran yang dihadapi di EU susulan pengenaan Akta Perwakilan yang mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tidak mampan, Kalyana berkata kerajaan dan agensinya sedang giat mencari pasaran biodiesel alternatif bagi minyak sawit.

“Sememangnya terdapat pasaran pesat membangun yang menarik, yang berpotensi menggunakan MSM Malaysia seperti sub-Sahara Afrika.

“Kita melihat potensi semua minyak makan dan lelemak akan meningkat di wilayah ini memandangkan jumlah penduduknya yang semakin bertambah malah purata pendapatan per kapita dan penggunaan per kapita minyak dan lelema juga kian bertambah,” katanya.

Pasaran berpotensi lain ialah Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Pasifik (tidak termasuk China).

Beliau berkata EU dan negara anggotanya akan mengemaskinikan dasar biobahan api domestik masing-masing dengan mengambil kira Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu (RED II) dan Akta Perwakilan.

Cabaran lain yang ditimbulkan oleh EU adalah ‘Farm-to-Fork’ (F2F) serta Strategi Biodiversiti dan implikasinya terhadap perdagangan minyak sawit.

Harga minyak mentah yang rendah juga menyebabkan kekurangan permintaan biodiesel dari blok itu, katanya.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 platform Pointers yang dilancarkan pada 2010 dengan jumlah anggota hanya 200.

Sejak tempoh itu, pengikut Pointers meningkat kepada lebih 5,000 anggota berdaftar dari 50 negara.

Platform itu terbukti menjadi medium berkesan untuk mendekati khayalak global bagi menyediakan bukan sahaja aliran harga minyak makan utama malah berkongsi perkembangan dan peluang penting dari rantau yang berbeza di dunia.

Bagi edisi istimewa Pointers kali ini, MPOC dan Bursa Malaysia Derivatives telah mengumpulkan 10 pakar yang akan berkongsi pandangan mereka mengenai perkembangan industri, prospek harga dan kesan COVID-19 ke atas permintaan dalam pasaran utama.-BERNAMA

(Visited 826 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button