NasionalNegeri

JKDM Perlis berjaya peroleh 23 kes dari Operasi Naman

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya memperoleh 23 kes menerusi Operasi Naman hasil kerjasama dengan Kastam Thailand dari 6 hingga 23 Jun lalu.

Ismail Hashim

Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, daripada keseluruhan perolehan kes ini JKDM Perlis telah mematahkan 13 kes penyeludupan barang bersubsidi.

Beliau berkata, sembilan kes pula berkaitan penyeludupan barang tak berkastam (rokok dan minuman keras) dan satu lagi kes penyeludupan migran.

“Jumlah anggaran nilai barangan yang dirampas termasuk kenderaan yang disita bernilai RM438,309.93 dan keseluruhan duti serta cukai terlibat berjumlah RM218,791.92,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, dua individu yang terlibat dalam penyeludupan migran telah dihadapkan ke mahkamah pada 23 Jun lalu.

Katanya, keduanya didakwa mengikut di Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] kerana mengangkut migran untuk menyeludup keluar dari Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] kerana tinggal lebih masa di negara ini tanpa pas yang sah.

Ismail Hashim melihat rampasan barang bersubdsidi pada penyeludupan yang berjaya dipatahkan dalam Operasi Naman.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat  mengenai pendirian tegas JKDM Perlis dalam memerangi isu penyeludupan barangan bersubsidi ke luar negara demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Sekaligus mendorong pematuhan terhadap perundangan sedia ada termasuklah; Akta Kastam 1967, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Ismail menambah, jalinan kerjasama antara Kastam Malaysia dan Kastam Thailand secara tidak langsung memberi amaran serta mempamerkan kekuatan JKDM melalui penyatuan semua sumber yang ada ke arah menyekat dan membanteras aktiviti penyeludupan rentas Sempadan Malaysia – Thailand.

Ismail Hashim (kanan) menunjukkan sebuah kereta yang disita dari Operasi Naman. – Gambar Ihsan JKDM Perlis

“Bagi jangka masa panjang ia akan dapat melumpuhkan rangkaian penyeludupan barang bersubsidi, barang tak berkastam, penyeludupan migran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama bersinergi Malaysia – Thailand turut mendedahkan kepada anggota, pentingnya menjalinkan kerjasama, bersatu padu dan membina kekuatan secara bersama dalam mencapai objektif operasi.

Sehubungan itu, katanya, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-8000-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan agar kita bersama-sama dapat membanteras kegiatan penyeludupan. – SM

BACA PM setuju kekalkan subsidi ayam dan telur

BACA Badan penguatkuasa fokus kepada ketirisan barangan bersubsidi

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button