Nasional

Malaysia mengundi pada 19 November

HARI mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditetapkan pada 19 Nov.

Demikian diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh tadi.

Hari penamaan calon ialah 5 Nov, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 15 Nov. Calon pilihan raya mempunyai 14 hari untuk berkempen.

Abdul Ghani mengumumkan tarikh itu dalam taklimat media yang turut disiarkan secara langsung selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR selama kira-kira dua jam.

Pada 10 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14, yang berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang kemudiannya membubarkan DUN mereka untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

Beberapa dewan undangan negeri tidak dibubarkan iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana mereka baru mengadakan pilihan raya negeri baru-baru ini.

Tiga negeri pimpinan Pas (Kelantan, Terengganu dan Kedah) dan tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan) tidak membubarkan DUN masing-masing, dengan pilihan raya hanya dijadualkan tahun depan.

SPR juga mengumumkan pilihan raya bagi kerusi DUN Bugaya di Sabah akan diadakan serentak dengan PRU15. -SM

 

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button