Ekonomi

Malaysia mampu menjadi Harimau Asia semula dengan pemerkasaan PKS

HALAL Street UK (HST), gedung dalam talian terbesar untuk produk Malaysia di United Kingdom, menggesa agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk membantu lebih
banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pensijilan Halal bagi menembusi pasaran Halal global.

Pengiktirafan Halal adalah lima kali lebih penting berbanding harga berpatutan yang ditawarkan bagi majoriti komuniti Islam antarabangsa terutama yang menetap di negara bukan Islam.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pasaran Halal global menawarkan peluang yang sangat besar untuk PKS tempatan, terutamanya dalam mengeksport produk makanan ke luar negara memandangkan sijil halal Malaysia mempunyai reputasi yang besar di peringkat dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Halal Street UK, Simon Suresh berkata Malaysia mampu kembali menjadi ‘Harimau Asia’ melalui sektor Halal dengan sokongan bantuan dan dana daripada
pelbagai pihak yang terbabit dalam sektor eksport Halal.

“Sektor Halal negara mempunyai potensi yang luas sebagai penjana sumber pendapatan yang kompetitif kepada ekonomi negara. Namun begitu, agensi-agensi berwajib perlu mempermudahkan
proses usahawan untuk mendapatkan sijil Halal,” kata beliau dalam satu kenyataan.


Simon menjelaskan ramai usahawan berminat untuk meneroka pasaran eksport Halal namun terbantut kerana tidak mempunyai sijil Halal.

“Sehingga tahun lepas, hanya 7,000 PKS daripada 200,000 sahaja yang mempunyai sijil Halal.  Sekiranya lebih banyak PKS mempunyai sijil Halal, ini dapat melahirkan lebih ramai pemain industri
yang kompetitif selain daripada membantu kerajaan dalam meningkatkan nilai eksport Halal,” kata beliau.

Halal Street UK juga menggesa agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk membantu mempersiapkan PKS menerusi kursus latihan, insentif dan geran sebagai penambah nilai kepada produk mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ramai usahawan PKS terutama di kawasan pedalaman tidak sedar akan bantuan dan insentif yang disediakan kerajaan. Perlu untuk kerajaan mewar-warkan informasi ini secara lebih aggresif agar
lebih ramai usahawan mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan,” ujar Simon.

Tambah Simon, Halal Street UK bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam membantu PKS dengan menyediakan akses pasaran ke United Kingdom.

(Visited 84 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button