
Malaysia-Kyrgyzstan Meterai 10 Dokumen Penting, Kukuhkan Hubungan Dua Hala
PUTRAJAYA, 25 Jun 2025 — Malaysia dan Republik Kyrgyzstan hari ini menandatangani 10 dokumen penting yang merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk pelancongan, perdagangan, pendidikan tinggi, kesihatan, transformasi digital, belia, latihan diplomatik dan kerjasama institusi strategik.
Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov, dalam satu majlis rasmi di Seri Perdana, Putrajaya.
Dalam sidang media bersama, Perdana Menteri menyifatkan lawatan rasmi ini sebagai bersejarah kerana ia merupakan kunjungan pertama oleh Presiden Kyrgyzstan ke Malaysia dalam tempoh tiga dekad.
“Lawatan ini mencerminkan iltizam bersama untuk melonjakkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih kukuh dan bermakna,” ujar beliau.
Antara hasil penting pertemuan itu termasuk persetujuan untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang pelaburan, pembinaan, perbankan Islam dan tenaga boleh diperbaharui — termasuk penubuhan sebuah bank Islam dan pelaksanaan pelan tindakan halal.
Malaysia juga menyatakan minat untuk meneroka potensi Kyrgyzstan dalam sektor tenaga hidro dan teknologi hijau sebagai langkah ke arah pembangunan mampan.
Dalam aspek pendidikan, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkasa pertukaran pelajar dan pensyarah serta latihan teknikal melalui Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) bagi mengukuhkan jaringan antara rakyat serta memperluas peluang pendidikan rentas budaya.
Kedua-dua pemimpin turut sepakat meneroka kerjasama baharu dalam bidang kesihatan, keselamatan siber, pembangunan belia dan transformasi digital.
Dalam perbincangan mengenai isu global, Malaysia dan Kyrgyzstan menegaskan pendirian bersama menolak penjajahan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Kedua-dua negara turut menyeru kepada solidariti ummah dalam menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
“Malaysia akan terus menjadi rakan yang komited dan diyakini demi manfaat bersama dan masa depan yang lebih terjamin untuk kedua-dua negara,” kata Anwar.