Ekonomi

Malaysia Ke Arah Hab Serantau Bahan Api Lestari Menerusi Kerjasama ENI, PETRONAS dan Euglena

ROME – Malaysia melakar pencapaian penting dalam usaha transisi tenaga menerusi pembangunan kilang biorefinery pertama negara di bawah syarikat usaha sama Pengerang Biorefinery Sdn. Bhd. (PBSB), bertempat di Pengerang Integrated Complex (PIC), Johor.

Projek berimpak tinggi ini adalah hasil kerjasama strategik antara tiga syarikat gergasi – ENI dari Itali, PETRONAS, dan syarikat bioteknologi Jepun, Euglena – yang akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran bahan api lestari (sustainable fuels) terulung di rantau ini.

Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM6 bilion, fasiliti ini dijangka menghasilkan produk tenaga hijau seperti Sustainable Aviation Fuel (SAF), Hydrogenated Vegetable Oil (HVO), Bio-Naphtha, dan Bio-LPG. Ia sejajar dengan aspirasi negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, menyifatkan projek ini sebagai langkah besar ke arah ekonomi hijau dan daya saing jangka panjang negara.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mampan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan berteknologi tinggi serta mempercepatkan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.

Tengku Zafrul turut menekankan bahawa hubungan erat Malaysia dengan rakan dagang utama seperti Itali dan Jepun memberi nilai tambah dalam membangunkan ekosistem tenaga bersih dan ekonomi karbon rendah yang lebih kukuh di rantau Asia.

Projek PBSB ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi industri tenaga negara, sejajar dengan agenda Kerangka Ekonomi MADANI, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam pelaburan hijau global.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button