
Malaysia–Jepun Terus Perkukuh Hubungan Ekonomi dan Digitalisasi di Nikkei Forum Medini 2025
Iskandar Puteri, 19 Jun 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Nikkei Forum Medini 2025, sebuah platform serantau berprestij yang menghimpunkan pembuat dasar, pelabur dan pemikir dari rantau Asia bagi merangka kerjasama strategik masa hadapan.
Dalam ucapan utamanya, Perdana Menteri menegaskan bahawa lebih enam dekad hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, yang berlandaskan prinsip saling menghormati, inovasi bersama dan kepercayaan terhadap potensi Asia, telah menjadi asas kukuh kepada pelbagai pembaharuan nasional yang sedang digerakkan Kerajaan MADANI.
“Hasil hubungan strategik ini, Malaysia mampu memperkukuh asas ekonomi, mempercepat transformasi digital dan menegakkan tadbir urus berintegriti demi masa depan yang lebih saksama,” jelas Anwar.
Beliau turut menggariskan potensi besar menerusi penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang disifatkan sebagai lembaran baharu penciptaan peluang dan kemakmuran rentas sempadan, khususnya bagi rakyat Johor dan kawasan sekitarnya.
Sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh pelaburan strategik, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat teknologi Jepun, NEOJAPAN, dan agensi pelaburan negeri, Invest Johor, turut disaksikan oleh Perdana Menteri. Usahasama ini bakal memacu kerjasama dalam sektor transformasi digital dan teknologi pintar.
“Kita mahu pembangunan yang inklusif, menyeluruh, dan merapatkan jurang wilayah serta komuniti. Ini asas penting Malaysia MADANI,” tambah beliau.
Perdana Menteri turut mengulangi keyakinan bahawa masa depan Asia akan dibentuk oleh negara-negara yang berani memimpin dengan prinsip dan berteraskan nilai.
Nikkei Forum Medini 2025 dianggap sebagai kesinambungan kepada hubungan mesra Malaysia-Jepun di peringkat global, selaras dengan Dasar Pandang ke Timur yang terus relevan dalam dunia pasca-pandemik dan era persaingan teknologi.