Nasional

Malaysia-Indonesia akan laksana koridor perjalanan

Malaysia dan Indonesia hari ini mencapai persetujuan melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL).

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau dan Presiden Indonesia Joko Widodo
berharap inisiatif ini dapat dimuktamadkan dan mula dilaksanakan pada awal tahun depan.

Katanya, koridor perjalanan tersebut akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR COVID-19.

“Cadangannya, sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah.

“Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang telah divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan,” katanya.’


Tambah beliau, inisiatif tersebut akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara.

Katanya, pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sidang media bersama Joko Widodo sempena lawatan rasminya ke Indonesia hari ini.

Pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai isu Laut China selatan. Ismail Sabri berkata, Malaysia berpendirian bahawa Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.

Tegas beliau, Malaysia berpegang teguh bahawa kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian dan tindakan yang akan diambil.

“Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan keutuhan wilayah, hak-hak kedaulatan dan kepentingan negara.

“Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif.
“Sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan universally recognised principles of international law, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982,” katanya.-SM

(Visited 13 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button