
Malaysia, ICESCO Rintis Kerjasama Strategik dalam Pendidikan, Teknologi dan Warisan Dunia Islam
PUTRAJAYA, 16 Jun 2025 – Malaysia dan Pertubuhan Dunia Islam bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) sedang meninjau potensi kerjasama strategik yang lebih menyeluruh, khususnya dalam bidang pendidikan, teknologi serta pemeliharaan warisan merentasi dunia Islam dan rantau ASEAN.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Ketua Pengarah ICESCO, Dr Salim M AlMalik ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya petang ini.
ICESCO, sebuah pertubuhan antara kerajaan yang beribu pejabat di Rabat, Maghribi, kini dianggotai lebih 50 buah negara dan memainkan peranan penting dalam memperkasa agenda pendidikan, sains dan kebudayaan di dunia Islam menerusi rangkaian kerjasama global.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa bidang pendidikan masa depan perlu diberi tumpuan, termasuk pensijilan latihan dalam kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, dan teknologi baharu, selaras dengan keperluan negara-negara membangun yang kini giat mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran era digital.
Anwar turut mengambil maklum pelbagai inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan oleh ICESCO dan menekankan bahawa Malaysia bersedia menjadi rakan kerjasama aktif dalam memperluas impak program ICESCO di rantau Asia Tenggara.
“Sebagai negara anggota OIC yang berdaya saing, Malaysia komited untuk memainkan peranan proaktif dalam membentuk ekosistem pendidikan dan teknologi yang inklusif, dinamik dan sejajar dengan prinsip kemajuan dunia Islam,” ujar beliau.
Kerjasama yang dijalin antara Malaysia dan ICESCO dijangka akan membuka lebih banyak peluang strategik dalam pembangunan modal insan, pengarusutamaan teknologi Islamik dan usaha memperkukuh jati diri budaya serta warisan umat Islam di peringkat serantau dan global.