Politik

Malaysia dilihat tidak berkecuali selepas Korea Utara putus hubungan

MALAYSIA perlu memberi perhatian terhadap hubungannya dengan Korea Utara supaya dasar berkecuali negara dapat diperkukuh dan diperteguhan.

Bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, dasar berkecuali Malaysia boleh dipersoalkan selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Presiden Amanah itu Malaysia tidak boleh dilihat condong kepada kuasa dunia tertentu dan mesti dilihat kekal berkecuali.

“Apabila Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ia dilihat seolah olah Malaysia condong kepada kanan dan tidak lagi benar benar berkecuali.

“Sudah tentulah Korea Utara yang mempunyai hubungan rapat dengan China yang menjadi gergasi ekonomi utama dunia perlu diambil perhatian khusus oleh Malaysia supaya dasar berkecuali Malaysia itu diperkukuh dan diperteguhkan,” katanya.

Beliau menambah, dasar berkecuali yang dimulakan oleh bekas perdana menteri Tun Abdul Razak perlu dipertahankan kerana ianya memberi faedah kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Ini kerana sejak sekian lama Malaysia memainkan peranan yang berkesan di peringkat antarabangsa disebabkan dasar berkecuali tersebut yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Razak dan diteruskan oleh Perdana Menteri berikutnya kecuali pada hari ini ia mula dipertikaikan.

“Semoga Malaysia kembali kepada asas asasnya sebagaimana diamalkan selama ini.,” kata Mohamad.

Semalam Korea Utara mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.

“Kementerian Luar Korea Utara mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan secara total,” menurut laporan agensi berita KCNA.

Menurutnya lagi, rakyat Korea Utara diekstradisi itu terbabit dalam aktiviti perdagangan yang ‘sah dari undang-undang’ di Singapura.

Sementara Malaysia telah mengarahkan kakitangan dan pegawai Kedutaan Korea Utara meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam, susulan Pyongyang mengumumkan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Malaysia berhak untuk bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara demi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara.

Menurutnya, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara yang disifatkan sebagai tidak menghormati negara lain.

Pada 9 Mac lalu, seorang lelaki Korea Utara dikenali sebagai Mun Chol Myong, gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah Malaysia terhadap perintah ekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut peguamnya, lelaki itu menafikan dakwaan bahawa dirinya mengetuai sekumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan item dilarang ke Korea Utara dan terbabit pengubahan wang haram menerusi sejumlah syarikat.

Chol Myong, berumur lingkungan 50-an, menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu.

(Visited 404 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button