Alam SekitarNasionalRibut

Malaysia dilanda fenomena La Nina hingga akhir tahun

CUACA di negara kita sekarang ini sudah tidak menentu. Sukar untuk dikatakan bilakah musim tengkujuh kerana hujan boleh turun dengan lebatnya untuk tempoh waktu melebihi dua tiga jam pada bila-bila masa.

Berbanding dengan dahulu, kita boleh meramalkan, jika bulan Oktober sehingga akhir tahun adalah musim tengkujuh dan negeri-negeri di sebelah Pantai Timur akan berhadapan dengan hujan monsun yang lebat sehingga banjir.

Itu dahulu. Hari ini, Fenomena La Nina yang mempengaruhi curahan dan intensiti hujan ketika ini dijangka berpanjangan sehingga hujung tahun.

Begitulah ramalan yang dibuat oleh pakar meteorology dan orang ramai harus mengambil kira apa yang diramalkan supaya tidak terperangkap dengan banjir ataupun banjir kilat.

Menurut Azizan Abu Samah dari Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Universiti Malaya (UM), fenomena yang diramal berakhir pada Ogos hingga September ini dijangka berterusan sehingga ke penghujung tahun.

“Apabila melihat kepada keadaan Lautan Pasifik, fenomena ini bergerak perlahan tetapi dijangka bertahan sehingga akhir tahun ini.

“Oleh demikian, negara akan mengalami hujan yang berpanjangan sehingga hujung tahun,” katanya.

Beliau berkata, keberadaan fenomena La Nina yang berkategori sederhana sejak tahun lepas hingga kini mengubah corak suhu permukaan air di laut dan lautan sekitar negara dan rantau Asia Tenggara.

Jelas beliau lagi, La Nina mampu menggalakkan proses perolakan udara dan pembentukan awan yang aktif sekali gus menghasilkan ribut petir serta angin lebih kencang disebabkan kekuatan angin timuran.

Justeru kata Azizan, ribut petir akan menghasilkan lebih banyak hujan yang melanda beberapa kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Pihak tertentu khususnya menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) perlu mengeluarkan amaran ribut petir atau banjir kilat lebih pantas supaya rakyat mampu bersedia lebih awal.

“Sebelum ini, amaran yang dikeluarkan MetMalaysia merangkumi kawasan luas iaitu Pantai Timur walhal banjir kilat kerap berlaku di kawasan lebih kecil seperti di Kedah.

“Jadi, amaran yang lebih menjurus kepada daerah perlu dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN MALAYSIA – SM

(Visited 1,411 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button