
Malaysia dijangka alami cuaca lebih panas dan kering sehingga Mac
MALAYSIA dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan susulan fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pertengahan Mac ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan akan berkurangan di kebanyakan kawasan, terutamanya di utara Semenanjung seperti Perak, Pahang, dan Kelantan.
“Fenomena cuaca panas dan kering ini berlaku setiap tahun, lazimnya bermula dari Februari hingga Mei. Dalam tempoh ini, suhu harian tertinggi boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bacaan suhu tertinggi yang direkodkan semalam ialah 36.1 darjah Celsius di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah.
Beliau turut memaklumkan bahawa gelombang haba dan jerebu setempat berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan, namun keadaan dijangka tidak seteruk tahun 2024.
“Ia dipengaruhi oleh fenomena La Nina lemah yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini,” tambahnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi cuaca panas, termasuk memastikan pengambilan air mencukupi dan mengelakkan aktiviti luar yang berlebihan pada waktu puncak haba.