Politik

Anggaplah tiada rezeki jadi calon PKR ya Rafie Malik!

Nama digugurkan bukan kerana lantang kritik parti-Rafizi

SEMALAM hari penamaan calon dan tentunya mana-mana individu yang berangan namanya dicalonkan tetapi hampa, menjadi bahan bukan sahaja untuk parti tetapi pengamal media yang mengikuti perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbunyi terus apabila nama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dikhabarkan digugurkan sebagai calon di PRN Negeri Sembilan.

Rafizi Ramli

Mendengarkan desas-desus yang kurang enak di halwa telinga maka Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan bahawa bekas Adun Ampangan itu digugurkan pada PRN kali ini kerana lantang mengkritik parti.

Hah! Itulah bahayanya kalau keterlaluan mengkritik parti kerana perbuatan itu umpama menepuk air di dalam dulang, mercik kena ke muka sendiri.

Tidak faham dengan peribahasa di atas, ada satu lagi peribahasa yang memang tepak digunakan andaikata keterlaluan mengkritik parti sendiri.

Nak tahu apakah peribahasa Melayu yang seterusnya? Bunyinya begini: Meludah ke langit, kena batang hidung sendiri!

Ya benarlah Rafizi menafikan khabar angin yang mengatakan nama Rafie Malik digugurkan daripada menjadi calon di Ampangan pada PRN kali ini.

Mungkin bimbang kenyataannya itu tidak diterima bulat-bulat oleh penyokong Rafie Malek, Rafizi tampil menjelaskan, ada juga pemimpin lantang mengkritik parti.

Namun dikekalkan pucuk pimpinan yang membuat pelbagai pertimbangan sebelum dimuktamadkan  oleh Presiden PRK sendiri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak. Bukan sebab Rafie lantang mengkritik. Yang lain gugur juga. Ada yang mengkritik kasar tetapi dikekalkan.

“Kalau tengok PKR kali ini, tidak timbul soal itu. Kita memerlukan Wanita pada PRN kali ini,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri jelajah Madani DUN Sikamat, malam tadi.

Semalam, Rafie Malik membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas di DUN Ampangan.

DUN Ampangan pada PRN Negeri Sembilan ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang membabitkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin dari Perikatan Nasional serta Rafie Malik sendiri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, Rafie yang mewakili PH telah menang di kerusi Ampangan itu dengan majoriti 1,360 undi.

Sedihnya keahliannya dalam PKR digugurkan secara automatik berikutan tindakannya menjadi calon DUN Ampangan atas tiket Bebas.

Berikut catatan Rafie di Facebook yang meluahkan apa yang dirasainya apabila namanya tidak dicalonkan oleh PKR pada PRN Negeri Sembilan.

KENYATAAN MEDIA – CALON N14 AMPANGAN UNTUK PRN 15
1. Selaku penyandang ADUN Ampangan, saya tersentak apabila saya tidak dicalonkan semula untuk PRN 15
2. Hakikatnya umum mengetahui bahawa saya telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat di Ampangan dan memajukan Negeri Sembilan.
3. Pembangunan di Ampangan dalam tempoh satu penggal dibawah saya jelas rancak membangun dengan Pasar Moden empat tingkat menggantikan pasar lama yang uzur, Kompleks Komuniti Ampangan setinggi tiga tingkat mengantikan Balai Penghulu yang lama, Dataran Ampangan yang mengindahkan Benteng Ampangan dan Jejantas Ampangan.
4. Hampir ksemua kemudahan awam seperti balairaya, gelanggang futsal, gelanggang takraw dan pelbagai lagi telah dinaiktaraf dan kondusif untuk digunakan. Masalah banjir yang kerap berlaku telah berjaya saya selesaikan dengan baik.
5. Saya juga dikenali sebagai mesra penduduk dan membantu kesemua tanpa mengira latarbelakang bangsa, agama dan fahaman politik.
6. Prestasi saya selaku exco di Negeri Sembilan dalam portfolio yang diamanahkan iaitu pelaburan, perindustrian, keusahawanan, pendidikan dan modal insan juga amat cemerlang.
7. Saya juga dikenali dengan nilai integriti yang tinggi iaitu tidak ada satupun terbabit dengan salahguna kuasa, rasuah, nepotisme, kronisme atau apa-apa yang mencemarkan keperibadian saya.
8. Setelah saya membuat muhasabah iaitu penilaian apa yang berlaku, penolakan saya untuk dicalonkan semula adalah kerana ada individu tertentu yang merasakan dirinya tergugat jika saya masih berada didalam Kerajaan Negeri Sembilan.
9. Pencapaian cemerlang serta nilai keperibadian dengan integriti yang baik yang ada pada saya menjadi ancaman kepada individu tersebut.
10. Maka individu ini dan rakan-rakannya diperingkat pusat telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan saya dikeluarkan daripada kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan.
11. Namun demikian, saya sedang berusaha untuk memaklumkan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim untuk menilai semula pencalonan di N14 Ampangan.
12. YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu membuat perubahan ini kerana kaji selidik di kawasan Ampangan menunjukkan secara majoriti mahukan saya meneruskan perkhidmatan di Ampangan.
Dato’ Dr Mohamad Rafie Bin Ab Malek – SM
(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button