Agama

Masa untuk masyarakat bangkit selepas harungi dugaan Covid-19 – Raja Muda Perlis

Covid-19 telah mengubah landskap kehidupan di seluruh dunia. Setelah dua tahun mengharungi dugaan ini, tiba masanya untuk masyarakat bangkit menjadikan keadaan lebih baik. Kita perlu menambah nilai dalam diri kita terutamanya ilmu pengetahuan. Budaya membaca perlu terus subur dan hidup dalam jiwa masyarakat. Membaca akan melahirkan masyarakat generasi muda yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama dan berkemahiran yang tinggi. Dengan membaca juga, minda kita menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih baik.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas baginda berkenan berangkat menghadiri aktiviti kayuhan berbasikal sempena ‘Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022’ peringkat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang dianjurkan secara bersama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di sekitar kawasan Pauh baru-baru ini.

Program tersebut disekalikan dengan aktiviti ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 31 bagi tahun 2022’. Keluarga asnaf Nurulanis Abd Rahman, Jafri Talib dan Saad Mat masing-masing menerima RM700, sekotak bahan makanan mentah ‘Kit MAIPs Peduli’ dan juga satu pek beras daripada pihak MAIPs disumbangkan kepada mereka sempena aktiviti tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis Azizi Janan mengajak masyarakat untuk terus menjadikan perpustakaan sebagai tempat riadah minda. Ini adalah kerana apabila seseorang itu berada di perpustakaan maka ilmu pengetahuan dapat diterokai seolah-olah berada di serata pelusuk dunia. Pelbagai pilihan bahan bacaan bercetak, dengan subjek yang berbeza, setia menanti pengunjung untuk menelaah setiap isi kandungannya.

Menurut Azizi, bahan bacaan tidak terhad kepada bahan fizikal sahaja, tetapi juga boleh diakses secara atas talian di laman sesawang u-Pustaka. Lebih 52 juta bahan bacaan seperti e-buku, e-majalah dan e-suratkhabar serta e-pembelajaran juga boleh diakses secara percuma dihujung jari anda. Kandungan digital ini akan sentiasa ditambah dari masa ke masa.

Beliau turut mengajak masyarakat di negeri Perlis supaya segera mendaftar sebagai ahli u-Pustaka di alamat url www.u-library.gov.my dan terokailah dunia maklumat tanpa sempadan.

Untuk rekod, Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia adalah satu acara tahunan yang disambut pada setiap 23hb April yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Matlamatnya adalah untuk menggalakkan minat membaca, penerbitan dan hak cipta. Hari Buku & Hakcipta Sedunia mula disambut pertama kalinya pada 23 April 1995 iaitu 27 tahun yang lalu.

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button