
Malaysia dan Itali Perkukuh Hubungan Dagang Menerusi Sesi Meja Bulat Ekonomi
ROM, 2 Julai 2025 – Komitmen memperkukuh hubungan dagang dan pelaburan strategik antara Malaysia dan Itali dizahirkan menerusi penganjuran Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia–Itali, yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani.
Sesi berprestij itu menghimpunkan lebih 100 syarikat utama dari kedua-dua negara, merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan serta agensi dan pertubuhan industri. Ia membuka ruang kerjasama dua hala yang lebih luas dan berimpak tinggi, berpaksikan nilai tambah, inovasi dan kepentingan bersama.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal komited kepada prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai teras pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
“Dalam landskap global yang mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa merupakan asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta peluang sinergi rentas sempadan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti perniagaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa dasar keterbukaan, kecekapan tadbir urus serta daya saing ekonomi Malaysia terus memperkukuh keyakinan syarikat antarabangsa, termasuk pemain industri Itali.
Sesi meja bulat ini turut membuka prospek pelaburan dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon, pertahanan, ekonomi digital, aeroangkasa, dan industri berteknologi tinggi, selaras dengan agenda reformasi ekonomi negara di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.
Kerjasama erat antara Malaysia dan Itali dijangka menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik serta memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.