Nasional

Hadapi PKP 2.0 penuh semangat juang – Raja Muda Perlis

Perjuangan menghadapi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini harus dihadapi dengan penuh semangat juang.

Kesungguhan menghadapi PKP untuk kali ke-2 ini memerlukan komitmen semua pihak dalam memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas baginda berkenan menerima taklimat mengenai perancangan penganjuran Mesyuarat Online Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan 1 bagi tahun 2021 yang akan diadakan pada selasa 9 Februari akan datang oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor secara maya semalam.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs bertitah penerapan norma baharu yang telah dipraktikkan selama ini tidak boleh dipandang enteng, malah ia perlu dilaksanakan sebaiknya demi memastikan objektif pelaksanaan PKP itu dapat mencapai maksudnya.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, untuk tujuan itu, MAIPs telah memutuskan pelbagai ketetapan dalam pengurusan institusi di bawahnya melibatkan pengurusan masjid dan surau, institusi pendidikan Islam, Maahad Tahfiz dan sekolah serta agensi berkaitannya.

Terang Tuanku Raja Muda, MAIPs dan agensi bersamanya seperti Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) serta agensi di bawahnya seperti Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan NGO One Centre Malaysia Perlis, sentiasa peka di samping bersiap siaga dalam mempraktikkan dan menambahbaik amalan norma baharu serta akan sedaya upaya mematuhi segala SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Pada kesempatan yang sama baginda berharap rakyat akan menghabiskan masa PKP berada di rumah dengan penuh bermanfaat bersama seisi keluarga dan membersihkan premis dalam dan luar rumah masing-masing dengan sebaik mungkin.

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button