fbpx
Nasional

Malaysia catat jangkitan koronavirus tempatan pertama

Oleh BERNAMA

SEORANG wanita rakyat Malaysia, yang merupakan kes pertama jangkitan tempatan, dan wanita warga China dari Wuhan menjadi dua individu terbaru disahkan positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Ia menjadikan jumlah individu disahkan positif koronavirus di Malaysia adalah 14 kes, iaitu 10 warganegara China dan empat rakyat tempatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagi kes warga Malaysia berkenaan, wanita berumur 40 tahun itu merupakan adik kepada lelaki tempatan yang dikesan positif koronavirus pada Selasa lalu.

Ia adalah kes pertama jangkitan tempatan kerana wanita itu sebelum ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.


Menurutnya, wanita itu berada dalam keadaan stabil.

Bercakap pada sidang media harian perkembangan terkini kluster 2019-nCoV di sini hari ini, Dzulkefly berkata wanita itu mempunyai kontak langsung dengan abangnya yang pulang dari Singapura untuk sambutan Tahun Baharu Cina di Alor Setar pada 23 Jan lepas.

Beliau berkata wanita itu mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 1 Feb dan batuk pada 4 Feb sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta bagi gejala yang dialaminya.

“Sebaik ahli keluarganya (abang) dikesan positif 2019-nCoV, beliau kemudiannya telah dijejaki untuk pengesanan kontak oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

“Sampel daripada wanita itu dan keluarganya yang lain diambil dan selepas ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV dijalankan, wanita itu disahkan positif pada 5 Feb, manakala lain-lain ahli keluarga adalah negatif,” katanya.

Bagi kes wanita dari Wuhan, Dzulkefly berkata individu berusia 32 tahun itu disahkan positif koronavirus selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam selepas mempunyai gejala 2019-nCoV.

Beliau berkata wanita berkenaan bersama ibu dan tiga rakannya tiba di Malaysia pada 25 Jan lalu dan telah melawat beberapa tempat pelancongan di sekitar Kuala Lumpur.

Dzulkefly berkata pada 1 Feb lalu, wanita warganegara China itu mendapatkan rawatan bagi gejala demam di HKL dan selepas dirawat, wanita berkenaan dibenarkan pulang dengan dibekalkan ubatan bagi merawat gejala yang dialami dan juga ‘Home Assessment Tool’.

Katanya, wanita itu dan ahli kumpulannya diarah menjalani pengawasan dan pemantauan di rumah,dan lawatan pemantauan yang dilakukan oleh PKD Lembah Pantai mendapati beliau masih lagi bergejala.

Beliau berkata wanita itu kemudian dirujuk ke HKL dan dimasukkan ke wad pada 5 Feb dan selepas ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV dilakukan, disahkan positif koronavirus pada hari sama, lalu ditempatkan di wad isolasi dan dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata dari 10 Jan hingga hari ini, jumlah kumulatif kes pesakit dalam siasatan (PUI) adalah 290 orang iaitu 188 rakyat Malaysia dan 95 warganegara China, manakala satu kes masing-masing membabitkan warganegara Australia, Korea Selatan, Jordan, Brazil, Kanada, Bangladesh dan Thailand.

Daripada jumlah itu, 227 adalah negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan makmal, katanya.

Mengenai kes seorang warganegara Kanada yang dilapor pengsan di lot parkir sebuah pusat membeli-belah di ibu negara, yang tular di media sosial semalam, Dzulkefly berkata wanita itu disahkan negatif koronavirus.

Beliau berkata remaja berusia 17 tahun yang ditempatkan di wad isolasi HKL itu telah pun dibenarkan pulang.

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button