Kesihatan

Malaysia di kedudukan ke-13 Indeks Pemulihan Nikkei Covid-19

MALAYSIA berada di kedudukan ke-13 dalam Indeks Pemulihan Nikkei Covid-19 terkini selepas hampir dua tahun memerangi pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatannya di Facebook malam tadi, beliau berkata, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menonjolkan jurang antara Asia dan Barat dengan banyak negara mengalami lonjakan kes iaitu varian Omicron dalam tempoh yang singkat.

Berdasarkan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei setakat 31 Dis 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dengan jumlah skor 66.5 manakala Bahrain menduduki tempat teratas dengan jumlah skor 82.0, dengan Chile di tempat kedua pada 76.5 dan Taiwan menduduki tempat ketiga pada 75.5.

Menurut laman webnya, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menyenaraikan kira-kira 120 negara atau wilayah mengenai pengurusan jangkitan, pelancaran vaksin dan mobiliti sosial.

Kedudukan yang lebih tinggi menunjukkan negara atau wilayah semakin hampir kepada pemulihan dengan bilangan kes Covid-19 yang disahkan yang rendah, kadar vaksinasi yang lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat; sumber data termasuk Our World in Data, Google Covid-19 Community Mobility Reports, Oxford Covid-19 Government Response Tracker Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Malaysia merekodkan 2,714 kes pulih semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pemulihan kepada 2,714,614 sejak wabak itu melanda negara pada Februari 2020.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia kini berada di kedudukan keenam dalam Indeks Covid Global (GCI) yang dibangunkan dengan input daripada pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berdasarkan GCI, Malaysia menduduki tempat keenam dengan penarafan pemulihan lima dan indeks pemulihan 78.74, manakala Singapura menduduki tempat pertama dengan indeks pemulihan 82.88, diikuti Korea Selatan (82.71) dan Taiwan (80.49) dengan kesemuanya berkongsi penarafan pemulihan yang sama daripada lima.
– BERNAMA

 

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button