Nasional

Bantuan pasca banjir telah disalurkan

PERDANA Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah menubuhkan Command Centre dengan pemantau harian dibuat secara real time bermula 27 Disember lalu bagi mempermudahkan urusan agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) agar lebih cepat dan efektif.

“Sehingga 2 Januari, BWI telah selesai diagihkan kepada seramai 28,258 (61.2%) daripada 46,162 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Daripada 51 kematian akibat bencana banjir yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga semalam, seramai 38 waris mangsa telah pun menerima BWI Pengurusan Kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, unit yang ditubuhkan bagi mengurus inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 telah bertindak memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Menurut Ismail Sabri, sejumlah RM33 juta daripada RM93 juta permohonan Pinjaman Mikro BSN untuk isi rumah telah diluluskan sejak dilancarkan pada 27 Disember lalu.

Tambah beliau, bagi sumbangan GLC Disaster Recovery Network (GDRN), 60% daripada sumbangan berjumlah RM58 juta telah berjaya dilaksanakan.

Di samping itu, kata Ismail Sabri lagi, kerajaan turut memberi dua jenis baucer iaitu Baucer Pembelian Barangan Elektrik.

Katanya, penerima boleh mula membuat pembelian di premis terpilih atau secara dalam talian bermula 7 Januari ini dan Baucer Pembaikan Kenderaan akan terpakai bagi pembaikan kenderaan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain dari 19 Disember lalu.

“Bagi Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS (BNM) telah mula dibuka untuk permohonan pada 27 Disember lalu.

“Permohonan moratorium sehingga 6 bulan bagi pinjaman sedia ada boleh dibuat bermula 19 Disember lalu,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri berkata, dana sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan bagi Pinjaman TEKUN untuk PMKS.

“Sebanyak RM25 juta bagi inisiatif Pembersihan dan Pembaikan Infrastruktur Awam telah diperuntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dana sejumlah RM50 juta diperuntukkan kepada 32 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kerja-kerja Pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan, kerja-kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu.

Beliau berkata, kluster komunikasi strategik yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak bermulanya MTL 2021/2022.

Usaha dipergiatkan sejak jangkaan akan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk khususnya dan negara amnya bersedia agar keadaan lebih terkawal, katanya.

“Platform yang digunakan adalah media massa, media sosial, saluran Jabatan Penerangan, turun padang, advokasi, penerbitan dan usaha-usaha libat urus.

“Pelaksanaan semua inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 akan sentiasa dipantau Task Force bagi memastikan mekanisme kesiapsiagaan dan pengurusan bencana Negara sentiasa diperkemas dan berada pada tahap optimum,” katanya.

Ismail Sabri turut menasihati mereka yang menerima bantuan Kerajaan menerusi pembayaran Electronic Fund Transfer (EFT) agar berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil keuntungan mudah dengan menjalankan aktiviti scamming. – SM

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button