Nasional

Malaysia akan buka kedutaan bantu Palestin di Jordan

MALAYSIA bakal membuka kedutaannya yang diiktiraf negara ini untuk Palestin bagi memudahkan dan memperluaskan bantuan terhadap nasib warganya yang berterusan ditindas Israel.

Menurut Bernama, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kedutaan itu akan dibuka di Jordan kerana Israel tidak akan sesekali membenarkan Malaysia membuka kedutaannya di Palestin yang kini ditawan mereka.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika berucap di hadapan 120 pemimpin dan perwakilan yang hadir di Persidangan Negara-Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement) NAM kali ke 18, di Baku, Azerbaijan hari ini.

“Pembukaan kedutaan yang diiktiraf Malaysia ini akan membuka jalan untuk memudahkan kita membantu rakyat Palestin yang berterusan ditindas namun kita akui Israel akan mencari jalan untuk menidakkan usaha bantuan kita ini.

“Saya juga mahu memaklumkan dalam majlis ini tentang nasib buruk yang berterusan ditanggung saudara kita di Palestin. Mereka terus ditindas oleh sebuah rejim yang kejam dan rejim ini terus memperluaskan pendudukan haram di atas tanah yang secara sahnya dimiliki oleh warga Palestin.

“Malangnya masyarakat antarabangsa tidak membuat apa-apa dan tidak mampu mengambil tindakan terhadap Israel yang terus menekan kehidupan rakyat Palestin,” kata Dr. Mahathir.

Ujar beliau, Israel juga telah mengumumkan untuk merampas sebahagian wilayah Tebing Barat, satu tindakan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa selain mahu menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya yang baharu.

Katanya, banyak negara-negara di Barat menyokong langkah memindahkan ibu negara Israel ini dengan memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmuqaddis. Namun Malaysia sama sekali tidak bersetuju dengan langkah ini.

“Saya mengambil peluang ini untuk menggesa mana-mana negara NAM yang telah bersetuju atau bercadang memindahkan kedutaan mereka supaya memikirkan semula akan tindakan mereka ini,” katanya lagi.

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button