
‘Malam tadi hantar Fatin naik bas, pagi ini dapat berita dia maut kemalangan….’ – Ibu mangsa
KOTA BHARU: “Baru malam tadi kami sekeluarga menghantar anak sulung menaiki bas, namun pagi ini saya dapat berita dia meninggal dunia dalam kemalangan,” kata Fieza iaitu ibu kepada Fatin Nasrin Fadli, 22, seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Lebuhraya Timur Barat berdekatan Tasik Banding, Perak pada jam 1 pagi tadi.
Kemalangan membabitkan bas dan PERODUA Alza itu turut menyebabkan tujuh pelajar parah dan dirawat di Hospital Gerik.
Fieza berkata, dia sekeluarga mengetahui kemalangan membabitkan bas dinaiki anaknya itu pada jam 6 pagi selepas melihat Facebook.
“Ketika itu saya hanya mengetahui Fatin kemalangan dan tidak tahu status keadaannya sama ada cedera atau meninggal dunia.
“Saya terus bergegas dari Jertih dan ketika dalam perjalanan, saya dihubungi pihak hospital mengatakan anak saya sudah meninggal dunia.
“Allahuakbar… sedih sangat sebab dia baru balik beraya dan malam tadi, kami menghantarnya dengan gembira kerana sepatutnya anak ada kelas hari ini,” katanya.
Fieza berkata, setakat jam 10.50 pagi ini, dia masih berada di Tanah Merah, Kelantan kerana kesesakan jalan dan tidak mengetahui berapa lama perlu berada di jalan sebelum sampai ke Hospital Gerik, Perak .
“Kami sekeluarga memang terkejut memandangkan arwah anak sulung dari lima beradik dan sepanjang pulang ke rumah beraya, dia sangat gembira,” katanya.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.