
Malakoff perkukuh kerjasama melalui projek solar bersama Hicom Automotive
Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), menerusi anak syarikat solar komersial dan industri (C&I) miliknya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (MRSB), memperkukuh usaha memperluaskan jejak tenaga boleh
baharu (TBB) menerusi pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga Solar yang kedua bersama HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd. (HICOM Automotive), sebuah syarikat utama dalam industri automotif Malaysia yang terlibat dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan premium.
Projek terbaharu ini, dengan kapasiti terpasang sebanyak 4.22 MWp, bakal menjadi pelaksanaan solar terbesar MRSB di satu lokasi, sekali gus menandakan permulaan fasa kedua dalam kerjasama strategik yang semakin berkembang antara kedua-dua pihak.
Ia susulan kejayaan pelaksanaan projek fasa pertama yang melibatkan sistem fotovolta suria (PV) bumbung dengan kapasiti 2.0 MWp di fasiliti pengeluaran HICOM Automotive di Pekan, Pahang, yang mula beroperasi secara komersial pada 1 Julai 2022.
Setakat ini, projek fasa pertama telah menyumbang secara ketara kepada sasaran kelestarian HICOM Automotive dengan mengurangkan penggunaan elektrik dari grid sebanyak 7.0 GWh dan mengelakkan hampir 5,489 tCO₂e, bersamaan dengan penyerapan karbon oleh kira-kira 261,000 batang pokok.
Meneruskan momentum ini, projek fasa kedua yang dijadualkan untuk dimulakan pembinaannya pada Jun tahun ini, akan melibatkan reka bentuk dan pemasangan penyelesaian tenaga solar yang dipertingkatkan di fasiliti sama, menggabungkan sistem PV bumbung konvensional dengan teknologi Fotovolta Bersepadu Bangunan yang menyepadukan panel solar secara langsung ke dalam struktur bumbung tempat letak kereta.
Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menggabungkan penjanaan TBB dengan reka bentuk seni bina, malah mengoptimumkan kecekapan sistem secara keseluruhan.
Sistem ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan fasiliti terhadap tenaga elektrik konvensional
secara signifikan, menjana penjimatan kos jangka panjang dan memperkukuh komitmen HICOM Automotive terhadap amalan pembuatan yang lestari.
Mengulas mengenai kerjasama ini, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, “Projek ini merupakan pencapaian penting bagi MRSB, bukan sahaja dari segi kapasiti terpasang, tetapi juga dalam mengukuhkan peranan kami sebagai pemacu utama dalam usaha nyahkarbon industri dan peralihan tenaga.
“Permintaan tenaga yang semakin meningkat dalam sektor industri memberi tekanan yang besar ke atas grid nasional, sekali gus menyerlahkan keperluan untuk strategi tenaga yang lebih bijak dan berdaya tahan. Menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa, jumlah penggunaan tenaga Malaysia dijangka meningkat pada kadar purata 2.0% setahun, dan hampir berganda menjelang tahun 2050.”
“Dalam usaha merancang ke hadapan, Malakoff akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan portfolio TBB melalui kerjasama strategik yang mampu menjana nilai jangka panjang dan kecekapan operasi.
“Kerjasama ini membuktikan bagaimana pemain industri berskala besar boleh melangkaui komitmen kelestarian dengan melaksanakan tindakan iklim yang bermakna – menyepadukan TBB dalam operasi teras dan menghasilkan impak yang dapat diukur merentasi rantaian bekalan.”
Malakoff giat memacu pertumbuhan inisiatif TBB sambil memastikan keselamatan tenaga negara kekal utuh. Menerusi tunjang perniagaannya, Malakoff Green Solutions, syarikat ini telah membina portfolio TBB yang mengagumkan sebanyak 173 MW.
Ini merangkumi pelbagai projek seperti solar berskala besar, pemasangan solar komersial dan industri,
penjanaan hidro kecil serta pelaksanaan infrastruktur mobiliti bebas karbon. Inisiatif-inisiatif ini menyerlahkan komitmen berterusan Malakoff terhadap matlamatnya untuk ‘Enhancing Life, Enriching Communities’, selaras dengan aspirasinya dalam membentuk masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan. – SM