NasionalNegeri

GLC diminta bantu 90 peratus veteran tentera di bawah B40

SYARIKAT Berkaitan Kerajaan (GLC) disaran “membuka mata” supaya dapat membantu ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) kerana 90 peratus daripada 178,000 ahlinya di seluruh negara tergolong kumpulan B40.

Presiden PVATM Malaysia, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar berkata, usaha Boustead Plantation Berhad (BPB) yang sudi menyalurkan bantuan menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dilihat perlu menjadi ikutan GLC lain.

Abdul Roup (dua dari kiri) sambil diperhati Sharuddin (kiri sekali) bertanya kepada penerima zakat pada majlis di Dewan KEMAS Alor Tampang, Beseri, Perlis hari ini.

Beliau berkata, sekalipun bantuan itu tidak diberikan bulanan tetapi apabila dilakukan secara tahunan juga dilihat sudah memadai sebagai penghargaan terhadap golongan ini.

“Sekurang-kurangnya nasib veteran yang tertekan untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana ada ahli yang menerima wang pesaraan RM600 sebulan itu akan terubat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sumbangan Zakat Waqalah Kepada Asnaf PVATM Perlis oleh BPB di Dewan KEMAS Alor Tampang, Beseri, Perlis hari ini.

Hadir sama Ketua Unit Perniagaan BPB Trong, Perak (Zon Utara) mewakili BPB, Abdul Roup Awang dan Presiden PVATM Perlis, Datuk Idrus Kassim.

Sebanyak 150 veteran dan balu dari 15 cawangan PVATM Perlis menerima zakat dalam bentuk wang tunai.

Sharuddin berkata, pihaknya amat menghargai inisiatif BPB bagi meringankan beban yang ditanggung oleh veteran.

“Diharap kolaborasi antara PVATM dengan BPB akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, program zakat wakalah oleh BPB telah dimulakan sejak tahun lalu bermula di Tawau, Semporna dan Sandakan.

“Pada tahun ini pula ia telah selesai dilaksanakan di Sibu, Sarawak, Kangar dan Pulau Pinang, esok (12 Februari),” katanya. – SM

(Visited 373 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button