Politik

Jangan lupa dua jasa besar Raja-raja Melayu

ORANG Melayu jangan sesekali lupa dua jasa besar Raja-Raja Melayu iaitu merealisasikan kemerdekaan negara ini serta memastikan hak penguasaan tanah dan sumber air kekal di tangan kerajaan-kerajaan negeri.

Menarik perhatian sejarah tanah air, bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar berkata, bukan British yang memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 tetapi tarikh bersejarah 31 Ogos itu dicapai hasil keizinan Raja-Raja Melayu.

“Bila Tunku Abdul Rahman nak memerdekakan negara ini, dia minta kebenaran Raja-Raja Melayu untuk berunding dengan British. Kata pentadbir British, kami sign (tandatangan) dengan raja kamu.

“Kami (British) ada 200 hingga 300 pegawai kami (di Tanah Melayu), takkan kami nak halau mereka. Kami ada pangkalan-pangkalan (tentera) untuk pertahankan negara-negara lain di Butterworth, Port Dickson, apa jadi (nanti). Berapa nak bayar? Itu discussion (Tunku) dengan British.

“Kemerdekaan negara ini diperoleh dengan signature (tandatangan) Raja-Raja Melayu…bukan Tunku, bukan UMNO…yang sign ialah sembilan Raja-Raja Melayu dan empat Undang Negeri Sembilan. Sebab itu Tunku ke London disertai wakil-wakil Raja Melayu.

“Ramai tak tahu (sejarah ini)…UMNO nak kredit, itu sebabnya ramai keliru,” kata Haniff yang juga Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) dalam satu forum di Wisma MPM di ibu negara kelmarin.

Forum bertajuk Gerakan Rakyat: Menentang Pembentukan Republik Malaysia oleh golongan cauvinis anti-nasional diinisiatifkan oleh Pengerusi MPM, Datuk Hassan Mad itu disertai ramai tokoh ilmuan dan akademik Melayu.

Mengulas lanjut, Haniff menjelaskan, pegawai British sendiri waktu itu turut mengingatkan bahawa negara ini adalah Tanah Melayu, bukan tanah jajahan British.

“Kita (British) tak boleh bagi seperti apa yang dinikmati di India, Ceylon…kita tak boleh bagi hak mengundi kepada orang Cina, India dan Inggeris pasal ini bukan tanah air kita.

“(Cuma) Masalahnya orang Cina dan India (di negara ini) nak ke mana? Itu sebabnya bagi balik Pulau Pinang dan Melaka kepada kamu (Melayu)…jadi, takut Melayu tak setuju, maka diperkenalkan Malayan Union. Selepas itu barulah orang Melayu tubuhkan UMNO,” kata beliau.

Mengenai satu lagi jasa Raja-Raja Melayu dalam memastikan penguasaan tanah dan air di negeri-negeri, Haniff menyambung hujahnya:
“Tunku nak semua kuasa (di tangan Pusat) tapi Raja-Raja Melayu tak setuju, Tunku berkeras…(kemudian) Raja-Raja beri amaran selagi tidak sign (kemerdekaan), barulah Tunku akur.

“Itu sebabnya negeri-negeri dapat hak kuasa tanah, air.”

-SUARA MERDEKA

(Visited 904 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button