Politik

Jangan ulangi kesilapan PRN Melaka

MELAKA 31 Januari – “Jangan ulangi kesilapan yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka,” demikian tegas bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek.

Menurutnya, Pas Johor harus menyatakan pendirian mereka sendiri sama ada ingin bersama Bersatu dalam PN atau Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

Beliau menegaskan, pucuk pimpinan parti itu wajar memberi kelonggaran bagi menilai cadangan dan pandangan daripada Pas Johor terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang mungkin merugikan
parti itu sendiri.

“Saya tidak mahu nasib Pas Johor sama dengan Pas sewaktu PRN Melaka November tahun lalu. Kita tewas lapan kerusi yang ditandingi.

“Kelonggaran itu wajar diberikan memandangkan Pas Johor lebih mengetahui dengan parti mana yang mereka lihat paling menguntungkan untuk berada dalam kerajaan selepas PRN nanti,” ujarnya di sini hari ini.

Sehubungan itu menurut Kamaruddin, Pas Johor mesti menyatakan pendirian mereka bagi menghadapi PRN tidak lama lagi walaupun Pas pusat mempunyai pendirian sendiri.

Menurutnya, apa yang membimbangkannya jika keputusan yang dibuat tidak menguntungkan, parti itu bukan bakal kehilangan satu kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) malah kesemua kerusi yang ditandingi pada PRN Johor nanti.

“Sudah tentu ahli akar umbi tidak mahu nasib parti di Johor sama seperti di Melaka. Kita mesti nak menang lebih daripada satu kerusi atau sekurang-kurang menang antara empat atau lima,” ujarnya lagi.

Menurutnya, PRN Johor amat penting buat parti itu yang akan menentukan hala tuju sebenar menghadapi PRU-15 nanti.

Jika gagal di Johor katanya, imej parti itu pasti tercalar dan memberi kesan dalam kalangan ahli akar umbi.

“Rundingan masih boleh diteruskan sebelum penamaan calon. Apa sahaja boleh berubah dan saya harapkan sesuatu dapat dicapai bagi menyelamatkan parti asalkan jangan kita rugi dalam PRN Johor nanti,” ujarnya.

Jika benar UMNO menawarkan empat kerusi jika bersama MN kata Kamaruddin lagi, itu sudah cukup memadai kerana apa yang penting Pas perlu menang bertanding dan berada dalam kerajaan yang memerintah.

Katanya, situasi politik Pas di Selatan tidak sama dengan negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara yang dikuasai parti itu.

(Visited 579 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button