Ekonomi

Mak Cun ‘Anjung Orang Kita’, realiti sebenar masalah usahawan bumiputera

MENONTON drama ‘Mak Cun ‘Anjung Orang Kita’ yang disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan malam tadi memaparkan realiti bagaimana usahawan bumiputera untuk menembusi produk-produk usahawan bumiputera dalam pasar raya besar.

Kemunculan wabak Covid-19 awal tahun ini menambahkan lagi ‘luka’ usahawan bumiputera ditambah pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu menyebabkan kebanyakkan produk usahawan bumiputera turut terkena tempiasnya.

Penulis tidak mahu mengulas mengenai wabak Covid-19 ini sehingga menyebabkan ramai usahawan bumiputera termasuk peniaga kecil mengalami keperitan dalam meneruskan perniagaan.

Namun penulis mahu mengulas mengenai ‘kepayahan’ usahawan bumiputera menembusi produk mereka di pasar raya besar.

Masalah pembungkusan sering menjadi isu utama dalam kalangan pasar raya besar dengan alasan ‘tidak menarik’ walaupun sebenarnya pembungkusan mereka sudah setanding dengan syarikat-syarikat multinasional lain.

Selain itu kekangan usahawan bumiputera berterusan menempatkan produk mereka berikutan masalah operasi pengeluaran tidak sebesar seperti syarikat multinasional lain.

Masalah ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana mereka telah lama ‘dianaktirikan’ oleh pasar raya-pasar raya besar ini.

Bukan setahun dua perkara ini berlaku malah sudah bertahun. Sebelum ini sudah ada kempen dibuat dengan menempatkan produk usahawan bumiputera ini namun kebanyakkan diletakkan di satu sudut yang sukar dilihat oleh pelanggaan.

Maka, golongan ini terpaksa mencari ruang-ruang yang ada seperti pasar raya kecil, kedai runcit dan perniagaan secara dalam talian dalam menjana pendapatan.

Keadaan itu turut diakui seorang menteri apabila pihaknya melalui agensi-agensi dibawah kementeriannya menyatakan telah berusaha membawa masuk produk tersebut selain mengadakan kempen namun tidak berjaya.

Keadaan itu menjentik hati seorang usahawan bumiputera yang melihat perlu ada sebuah pasar raya yang menempatkan semua produk bumiputera dibawah satu bumbung.

Mohd Fadzil Hashim, pengasas Malakat Mall telah mendapat idea itu semasa menganjurkan seminar keusahawanan tahun lalu. Beliau melihat perlu ada satu tempat untuk usahawan bumiputera meletakkan produk mereka bagi menyelamatkan golongan itu daripada terus dilanda kemurungan.

Pembukaan Malakat Mall telah mencetuskan fenomena. Masyarakat Melayu dan bumiputera menyambutnya dengan girang. Belum ada lagi sebuah pasar raya yang menerima produk mereka.

Kini sejak Malakat Mall dibuka pada Mac tahun ini, sambutan diterima amat menggalakkan. Walaupun ‘murung’ seketika ketika PKP dilaksanakan namun bangkit apabila PKP Bersyarat dimulakan maka kembali bernafas pasar raya tersebut.

Kita tidak boleh lagi bergantung kepada kerajaan namun kesatuan bangsa kita dalam memulihkan ‘semangat’ usahawan-usahawan bumiputera atau yang bakal menceburi usahawan bangkit memeriahkan pasaran di negara ini.

Hanya satu perkara perlu diingat oleh seluruh orang Melayu, bersatu dalam menjayakan usahawan ini. Jangan berhenti. Jika ada masalah bantulah, jangan dibiarkan merekat terkapai-kapai. – SM

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button