Nasional

Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfri Di Istana Negara Berlangsung Meriah

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfri bersama jemaah menteri dan perwakilan asing di Istana Negara di sini.

Majlis turut menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, serta hampir semua Jemaah Menteri termasuk Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Orang kenamaan lain yang turut hadir ke majlis itu adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Majlis itu turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Turki, Singapura, Amerika Syarikat, Azerbaijan, Australia, New Zealand, Bangladesh, Pakistan, Ireland, Kanada dan lain-lain.

Selain itu, tetamu lain yang dijemput adalah veteran ATM, veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM), ahli sukan veteran, beberapa kelompok ketua Orang Asli, serta aktivis sosial Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Majlis itu dihadiri lebih 800 tetamu dan tamat pada 1 tengah hari.

Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri itu adalah kali pertama diadakan di Istana Negara selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara, dengan kali terakhir diadakan pada 2019. -BERNAMA

(Visited 540 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button