fbpx
Nasional

Majlis Raja-raja Melayu bersidang esok petang

MAJLIS Raja-raja Melayu akan bersidang esok dijangka membincangkan isu semasa.

Difahamkan mesyuarat akan berlangsung pada pukul 2.30 petang.

Mesyuarat itu dijangka membincangkan isu kemungkinan pengisytiharan darurat kesihatan yang dikatakan dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin bergegas ke Kuantan, Pahang, semalam bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas mengadakan mesyuarat kabinet pada sebelah pagi.

Kabinet khas semalam walaupun tidak sebulat suara telah memutuskan untuk melaksanakan darurat kesihatan bagi mengatasi penularan wabak Covid-19 yang semakin tidak terkawal.


Istana Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-raja dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5.00 petang semalam (23 Oktober, 2020).

Sesi menghadap ini telah dimohon oleh YAB Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya.

Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini.

Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Penularan virus korona itu mencatat rekod terbaharu semalam apabila terdapat 10 kematian dan merupakan sesuatu yang mengejutkan sejak wabak itu tular 10 bulan lalu.

Bagaimanapun di pihak pembangkang mereka menyifatkan tindakan Muhyiddin itu lebih kepada untuk menyelamatkan kedudukannya yang bakal kehilangan kuasa kerana tidak mempunyai cukup sokongan ahli parlimen.

Muhyiddin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membentangkan dan mendapatkan kelulusan belanjawan pada 6 November ini.

Jika ia gagal diluluskan dan diikuti pula dengan undi tidak percaya, Muhyiddin akan kehilangan kerajaan yang didudukinya selepas Pakatan Harapan (PH) runtuh setelah pergolakan dalaman.

PN pada masa ini melibatkan komponen UMNO, Bersatu, Pas, GPS dan serpihan PKR.

Bagaimanapun UMNO yang kecewa dengan sikap pemimpin Bersatu berterusan menekan rakan komponen meletakkan kata dua jika mahu terus perikatan itu kekal.

Selepas beberapa siri perbincangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk melaksanakan gencatan politik bagi memastikan PN kukuh dan isu semasa ditangani dengan sewajarnya khusus penularan virus korona dan ekonomi.

Walaupun jaminan diberi oleh Ahmad Zahid namun kebimbangan Parlimen terbubar tetap ada kerana rundingan di sebalik tabir tidak dapat dielakkan.

Dikhuatiri jika Parlimen dibubarkan oleh Muhyiddin, situasi akan menjadi gawat. Berdasarkan kepada pembubaran dewan undangan negeri Sabah dan terpaksa melaksanakan pilihan raya negeri tempoh hari ia menjadi punca tercetus gelombang ketiga penularan Covid-19. – SM

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button