Nasional

Majlis Profesor Negara sokong pencarum dibenar keluar RM10,000

MAJLIS Profesor Negara (MPM) menyokong cadangan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan keluarkan duit simpanan mereka anatara RM5,000 hingga RM10,000.

Sekretariat MPM dalam satu kenyatan berkata, dalam persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan, negara memerlukan rakyat mempunyai kuasa beli yang tinggi untuk memastikan sektor ekonomi terus berkembang dan pembuangan pekerja dapat diberhentikan.

“Kepada pekerja yang diberhentikan seperti mereka yang terlibat dengan sektor pelancongan, penerbangan, perhotelan, pendidikan swasta dan lain-lain perkhidmatan yang terjejas teruk dengan krisis ekonomi, kemudahan tunai ini amat diperlukan untuk mereka memulakan kembali kegiatan bagi meneruskan kehidupan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

MPM percaya jumlah pencarum yang mahu mengeluarkan dalam akaun 1 KWSP kurang berbanding pengeluaran Skim i-Lestari yang diperkenalkan dalam Pakej Penjana.

Jumlah pengeluaran dijangka pada aras di bawah RM60 billion berbanding jumlah pengeluaran i-Lestari sebanyak RM7.48 bilion.

“Baru-baru ini KWSP mengumumkan jumlah aset dilabur mereka adalah sebanyak RM929.64 billion pada 30 Jun 2020 di mana 49.2% pelaburan adalah dalam bentuk bon.

“Jumlah keuntungan yang dilaporkan oleh KWSP bagi tiga bulan Suku ke-2 2020 ialah sebanyak RM15.12 bilion.

“Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, KWSP tidak akan memberi tekanan ke atas pasaran bon tempatan dengan mencarikan sebanyak RM50 billion dalam masa singkat,” katanya.

Menurut MPM, inilah masanya pihak kerajaanmenunjukkan rasa prihatin dan tulus dalam membantu rakyat keluar daripada himpitan ekonomi akibat Covid 19.

“Betul simpanan KWSP adalah untuk hari tua, tetapi tidak salah jika ianya digunakan sedikit oleh rakyat semasa mereka susah.

“Semasa ekonomi pulih pada masa akan dating, mintalah mereka meningkatkan semula caruman yang telah dikeluarkan menerusi ‘one-off’ ini,” kata MPM.

Jelasnya, fenomena yang luarbiasa menuntut polisi dan kebijakan yang luar biasa, kepentingan rakyat dan kesejahteraan rakyat mesti diutamakan. Ia seharunya menjadi norma baharu yang patut menjadi amalan ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000 secara ‘one-off’ dari akaun 1 masing-masing.

Najib turut mencadangkan agar permohonan tersebut boleh dipertimbangkan dengan syarat pemohon juga tandatangan surat aku janji untuk berjanji mencarum semula pengeluaran ‘one-off’ itu dalam tempoh dua tahun akan datang selepas ekonomi pulih tidak termasuk caruman bulanan biasa.-SM

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button