Politik

Majlis Presiden PH tolak alasan pelaksanaan darurat

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan menolak semua alasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk melaksanakan darurat sehingga 1 Ogos tahun ini.

Dalam satu kenyataan, majlis yang terdiri daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu itu berkata, darurat memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja dengan sewenang-wenangnya.

“Majlis Presiden mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari COVID-19.

“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini.

“Sebagai contoh, dalam isu mengambil alih hospital-hospital swasta untuk membantu dalam kes-kes Covid-19, hospital-hospital swasta ini memang bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka,” katanya.


Keputusan itu dibuat selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat hari ini yang membincangkan isu perisytiharan darurat yang akan berkuatkuasa bermula semalam.

Majlis itu turut menolak keputusan tidak ada sebarang pilihan raya diadakan sepanjang tempoh penguatkuasaan darurat.

“Berkenaan isu pilihanraya pula, Majlis Presiden melihat tindakan yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai.

“Bagi Pilihanraya Negeri Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihanraya Umum ke-15 pula hanya perlu diadakan menjelang 2023.

“Oleh itu, alasan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali,” katanya.

Majlis itu turut melahirkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur.

Menurutnya, pelaksanaan darurat juga tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, kami berpandangan bahawa tindakan Tan Sri Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik COVID-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan pelaksanaan darurat berikutan pertambahan mendadak kes positif Covid-19.

Perkenan tersebut diberikan selepas Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu semalam.-SM

 

 

(Visited 217 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button