Acara

Majlis Makan Malam Apresiasi Jubli Perak DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Disambut Penuh Gemilang


25 Jun 2025 | Kangar — Dewan 2020, Kangar bersemarak dengan suasana penuh gemilang malam semalam apabila berlangsungnya Majlis Makan Malam Apresiasi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Majlis bertemakan “Gold and Glitter” itu diserikan keberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. Turut berangkat, DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tanda Terima Kasih Kepada Semua Pihak

Dalam ucapan aluan, YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis-majlis sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku yang berlangsung dengan jayanya pada 17 April lalu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ungkap Kata “Puji Raja” oleh Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Hakim Khan, diikuti persembahan tarian pembukaan “Tingkah Mandini Samrah” oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis serta persembahan lagu “Daulat Tuanku” oleh penyanyi terkenal Perlis, Khai Bahar.

Anugerah dan Penghargaan

Sebanyak 16 Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Jubli Perak menerima sijil penghargaan daripada Menteri Besar Perlis, manakala DYMM Tuanku Raja berkenan mengurniakan sijil penghargaan khas kepada individu yang memberi sumbangan luar biasa, antaranya:

  • Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor – Penulis lirik & pereka logo rasmi
  • Yaakob Abd Aziz dan Sharif Shaary – Penulis lirik lagu “Daulat Tuanku”
  • Muhammad Khairul Baharuddin – Penyanyi lagu tema
  • Noor Shahirah Zulkifli (FRIM Perlis) – Pereka skrol persilaan
  • Mohd Shahrir Mohamad Ramli (Kraftangan Perlis) – Pereka motif bunga harumanis dan padi
  • Amir Budiman Abdullah – Pencipta nama “Kompleks Seri Putra”

Dua tokoh penting tidak dapat hadir tetapi turut menerima penghargaan ialah:

  • Datuk Mokhzani Ismail – Pencipta lagu tema
  • Azuan Othman – Penyanyi lagu Naungan Tuanku

Ucapan Istimewa Sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perempuan

Kemuncak majlis menyaksikan persembahan istimewa oleh Khai Bahar yang menyanyikan lagu “Selamat Menyambut Hari Keputeraan”. Beliau kemudian menuju ke arah DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis sambil diiringi lima orang flower girls mempersembahkan belon dan bunga, sebagai tanda kasih sempena ulang tahun ke-79 baginda yang disambut pada 6 Jun lalu.

Majlis ini menggambarkan penghormatan dan kasih rakyat Perlis terhadap institusi diraja yang menjadi payung kedaulatan negeri selama 25 tahun pemerintahan penuh wibawa DYMM Tuanku Raja Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button