JenayahNasionalNegeri

Tiga pengarah, seorang agen syarikat pelaburan tidak sah ditahan di Arau

KEGIATAN sebuah syarikat pelaburan yang tidak sah berpangkalan di Arau, Perlis akhirnya berjaya dibongkar ekoran penahanan tiga pengarah syarikatnya dan seorang agennya.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kesemuanya melibatkan warga tempatan yang berusia antara 30 hingga lewat 50 tahun itu.

Seorang agen ditahan semasa serbuan di premis syarikat pelaburan tidak sah di Arau

Beliau berkata, tiga pengarah termasuk seorang wanita itu telah ditahan di sekitar Arau pada malam tadi manakala seorang agen pula ketika serbuan di premis syarikat berkenaan di Arau pagi ini,” katanya.

“Siasatan lanjut berkaitan kes ini dijalankan setelah seorang mangsa berusia 31 tahun membuat laporan polis telah ditipu berkaitan pelaburan ini pada 8 November lalu,” katanya pada sidang media.

Ahmad Mohsin Md Rodi

Ahmad Mohsin berkata, seorang pekerja kilang di Arau telah diperdaya oleh seorang agen yang menawarkan satu skim pelaburan hartanah yang menjanjikan keuntungan dividen yang tinggi menggunakan konsep “sewa atas sewa”.

Katanya, selepas bersetuju melabur, agen meminta mangsa memasukkan modal pelaburan ke dalam akaun syarikat pelaburan berkenaan.

Tambahnya, mangsa kemudiannya diminta untuk menandatangani perjanjian pelaburan antara dia dengan pelabur dan kesemua dokumen disediakan oleh syarikat berkenaan.

“Mangsa telah diberikan keuntungan dividen untuk beberapa bulan pertama namun tidak lagi pada bulan seterusnya sehingga menyedari ditipu lalu tampil membuat laporan polis,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, hasil semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) pihaknya mendapati syarikat pelaburan ini tidak memperoleh sebarang kebenaran dan lesen untuk menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan berbentuk pelaburan di negara ini.

Beliau berkata, satu pasukan yang diketuai oleh Deputi Superitendan, Azaini Abdullah dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) yang disertai tiga pegawai dan lapan anggota telah melakukan serbuan ke premis syarikat berkenaan di Arau pagi ini.

Beliau berkata, syarikat berkenaan yang dilaporkan beroperasi sejak tahun 2019 ini juga mempunyai enam cawangan di Malaysia.

Bagaimanapun katanya, kini kesemua cawangan sudah tidak aktif kecuali yang berpengkalan di Arau.

Ahmad Mohsin berkata, serbuan berkenaan dilakukan bagi mendapatkan beberapa dokumen penting seperti fail pelanggan, dokumen perjanjian, resit-resit bayaran dan peralatan komputer.

“Antara rampasan termasuk 1,255 fail maklumat berkaitan pelabur yang dipercayai di sebelah Utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan lima komputer,” katanya.

Pasukan polis yang melakukan serbuan di sebuah premis syarikat pelaburan tidak sah di Arau memasukkan barang rampasan ke dalam kenderaan.

Ahmas Mohsin berkata, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka berkaitan pelaburan tidak sah ini yang setakat ini melibatkan kerugian RM39,000.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK). – SM

BACA Pelajar Tingkatan 2 ditahan disyaki buang bayi

BACA Kes culik wartawan Bangladesh: Anggota polis ditahan kerja

 

(Visited 52 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button